Lelaki Tular Pukul Isteri Pernah Kahwin 9 Kali & Ada 11 Anak, Sasar Wanita Bekerja Sebagai Penjawat Awam

LocalPolitics
29 Apr 2026 • 6:31 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Lelaki Tular Pukul Isteri Pernah Kahwin 9 Kali & Ada 11 Anak, Sasar Wanita Bekerja Sebagai Penjawat Awam

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Baru-baru ini, tular di media sosial seorang wanita cedera parah di badan dan lebam pada bahagian muka dipercayai akibat dipukul suaminya.

Lebih memilukan mangsa yang merupakan penjawat awam dan hamil 12 minggu turut mengalami keguguran akibat perbuatan pasangannya itu.

Susulan insiden berkenaan, lelaki terbabit diburu polis sebelum dia berjaya ditahan semalam (28 April) di sekitar Alor Setar, Kedah.

Malah, polis turut mengesahkan suspek yang berusia 43 tahun itu merupakan individu sama yang dilaporkan terlibat dalam kes pukul isteri sehingga koma di Kampung Aman, Larkin, Johor pada tahun 2021.

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Pukul Isteri Hingga Gugur Ditahan Reman 7 Hari

Suspek Pernah Kahwin 9 Kali, Ada 11 Anak – Polis

Terbaharu, polis mengesahkan suspek yang memukul isteri hingga parah dan mengalami keguguran di Sungai Petani pada minggu lalu pernah berkahwin sembilan kali dan mempunyai seramai 11 orang anak.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, suspek juga dipercayai masih mempunyai tiga isteri dan perkahwinan terbaharunya dengan mangsa dibuat di Thailand, lapor Berita Harian.

Suspek Sasar Wanita Yang Ada Pekerjaan Tetap Khususnya Penjawat Awam

Terang Adzli, hasil siasatan mendapati modus operandi suspek mensasarkan wanita yang mempunyai pekerjaan tetap khususnya yang bekerja sebagai penjawat awam.

“Kalau kita tengok, suspek ini cari pasangan yang mempunyai pekerjaan tetap, kebanyakannya kakitangan kerajaan.”

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah

Suspek Ada Beberapa Rekod Jenayah Lampau Libatkan Keganasan Rumah Tangga

Jelasnya, semakan polis turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau melibatkan keganasan rumah tangga terhadap isteri dan teman wanita.

Antara kesalahan yang direkodkan di bawah Seksyen 325, 323, 318 dan 506 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, antara kes yang pernah direkodkan termasuklah kes mencederakan isteri di Johor Bahru pada tahun 2021 yang menyaksikan suspek dijatuhi hukuman penjara 10 tahun namun kes tersebut kini dalam proses rayuan di mahkamah.

Polis Rampas Kereta Jenis Mercedes-Benz & Peralatan Yang Digunakan Untuk Memukul Mangsa

Suspek berjaya ditahan jam 4.45 petang semalam (28 April) di sebuah rumah inap desa di Alor Setar dipercayai mahu menyembunyikan diri.

Jelas Adzli, polis turut merampas sebuah kereta jenis Mercedes-Benz, empat buah telefon bimbit serta sebatang besi dan penyangkut baju yang dipercayai digunakan dalam insiden terbabit.

“Dalam kes terbaharu ini melibatkan mangsa yang juga isterinya berusia 39 tahun, juga penjawat awam dipercayai menjadi mangsa penderaan berulang sejak beberapa bulan lalu.

“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang rusuk kiri dan kanan, patah tulang belakang serta lebam di seluruh badan. Lebih menyayat hati, mangsa turut mendakwa mengalami keguguran akibat dipukul suspek,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Adzli menjelaskan pihaknya kini sedang melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun selain denda atau sebatan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan mengesahkan suspek adalah lelaki sama yang dilaporkan terlibat dalam kes pukul isteri sehingga koma di Kampung Aman, Larkin, Johor pada 2021.

Dalam insiden yang menggemparkan seluruh negara itu, Jahidah Nordin, seorang wanita yang juga hamil telah dipukul suaminya, di sebuah pangsapuri di Larkin, Johor sehingga cedera parah di kepala apabila sebahagian tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain mengalami retak rahang, tulang belakang dan rusuk retak.

Jahidah yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Namun sehingga kini Jahida masih lagi terlantar dan terus menerima rawatan walaupun berjaya melahirkan bayi lelaki pada November 2021.

Sebagai info, Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 4 November telah mengekalkan hukuman penjara 10 tahun terhadap suaminya, Rosmaini Abd Raof kerana mengakibatkan kecederaan parah.

Baca Artikel Berkaitan: Mahkamah Syariah Luluskan Tuntutan Fasakh Jahidah Nordin, Wanita Yang Koma Akibat Dipukul Suami

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Pukul Isteri Hingga Gugur Ditahan Reman 7 Hari