
TAWAU: “Minta duit tapi tidak diberikan” dipercayai menjadi punca seorang anak tergamak mengugut untuk mencederakan ibu kandungnya sendiri dengan sebilah parang.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Jalan Chester, di sini, kira-kira jam 11.10 malam, Isnin.
Berikutan itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah menahan suspek, lelaki tempatan berumur 30-an di kaki lima sebuah bangunan, sekitar Bandar Tawau, pada jam 2 pagi Selasa.
“Dia mengugut untuk memukul ibunya dengan parang kerana tidak diberi duit dan tindakan agresif sebegini bukanlah pertama kali. Malah pernah mengakibatkan kerosakan harta benda jiran,” katanya.
Jasmin berkata laporan polis diterima daripada adik kandung suspek sejam selepas kejadian itu bermula, sebelum gerakan mengesan dan menangkap lelaki terlibat dijalankan.
Berikutan itu, polis menahan suspek untuk membantu siasatan menerusi Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan semakan awal mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kita harap orang ramai yang mengalami ancaman atau keganasan dalam kalangan keluarga tidak ragu-ragu membuat laporan polis untuk membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki warga asing berumur lewat 20-an yang dipercayai mengamuk di sebuah rumah di Taman Ria turut ditahan untuk mencegah kejadian tidak diingini.
Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 506 selain Seksyen 323 yang dibaca bersama Seksyen 326 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/ 63.

