
BALIK PULAU: Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita disyaki menjadi 'keldai akaun' kepada sindiket penipuan dalam urusan pembelian telefon bimbit yang tidak wujud, semalam.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, kedua-duanya yang berusia 31 tahun ditahan secara berasingan di Perak Tengah dan Hilir Perak, Perak.
“Mereka ditahan bagi membantu siasatan kes yang dilaporkan pada pertengahan 2021 iaitu membabitkan penipuan pembelian telefon bimbit yang tidak wujud sehingga menyebabkan beberapa mangsa kerugian RM3,350 hingga RM26,800.
“Mereka dipercayai telah menyerahkan kad bank dan butir-butir perbankan peribadi untuk digunakan oleh individu lain secara dalam talian bagi urusan mendapatkan komisen kerja juga secara dalam talian,“ menurut kenyataan itu.
Kedua-duanya direman empat hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -Bernama
