Dua lelaki ditahan godam papan menu restoran makanan segera

3 Nov 2023 • 10:02 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SHAH ALAM: Polis menahan dua lelaki warga tempatan kerana disyaki menggodam papan menu digital sebuah restoran makanan segera di Kuala Langat, pada Selasa lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan (gambar) berkata dua lelaki berusia 26 tahun itu ditahan di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada pengurus restoran makanan segera itu memaklumkan papan menu makanannya telah digodam dengan tiba-tiba berubah kepada paparan gambar produk makanan mengandungi darah, bom, peluru dan tulisan ‘Proud Sponsors of Israeli Terorrism’.

“Susulan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 selain turut merampas telefon bimbit kedua-dua suspek,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 5 Nov bagi membantu siasatan. -Bernama