SANDAKAN - Seorang lelaki warga asing dipenjara selama tujuh bulan selepas mengaku bersalah memiliki kayu bakau yang merupakan hasil hutan tanpa cukai di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Tertuduh, Ren Ahmad, 42, yang bekerja sebagai nelayan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roslinda Razali.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didapati tanpa kebenaran yang sah di bawah Enakmen Hutan 1968, telah memiliki sembilan kayu bakau iaitu hasil hutan yang belum dibayar cukai.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 3.30 petang pada 12 Mac lalu di Sungai Batu Putih di sini.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 30(1)(g)(iii) Enakmen Hutan 1968 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 30(2)(b) enakmen sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perhutanan, Elrimeo Emin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.






