SUNGAI PETANI - Seorang lelaki warga China mencetuskan kekecohan apabila memandu melawan arus sejauh kira-kira 500 meter sebelum terbabit dalam kemalangan di Bandar Laguna Merbok di sini, malam Ahad.
Dalam kejadian itu, kenderaan dipandu lelaki berkenaan bertembung dengan sebuah kereta lain yang dipandu lelaki tempatan di Jalan Lencongan Barat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 11.30 malam berhubung kemalangan membabitkan dua kenderaan berkenaan.
"Kemalangan membabitkan seorang pemandu lelaki tempatan dan seorang lagi lelaki warga China.
"Siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi warna hitam dipandu lelaki warga China memandu melawan arus sebelum bertembung dengan kereta jenis Proton Saga putih dipandu lelaki tempatan.
"Kita syaki pemandu warga China terbabit berusia 50-an memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya.
Hanyan berkata, lelaki terbabit dilaporkan mengalami luka kecil di bahagian muka dan ditahan di wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini manakala lelaki tempatan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, pihak polis kini sedang mengesan waris kepada individu terbabit yang dipercayai pengarah sebuah syarikat.
"Mana-mana saksi yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ), Seksyen 45A dan Seksyen 45 (C) 6 APJ 1987," katanya.





