Lembaga Keamanan Gaza desak gugurkan nama Palestin daripada buku teks

WorldPolitics
5 Sep 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lembaga Keamanan Gaza desak  gugurkan nama Palestin daripada buku teks

LONDON: Pihak Berkuasa Pa­lestin (PA) didakwa menerima tekanan supaya menggugurkan perkataan Palestin daripada buku teks sekolah atas permintaan Lembagaan Keamanan pimpinan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Permintaan itu dikatakan disampaikan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, ketika beliau ke Ramallah, Tebing Barat baru-baru ini bagi pihak Lembaga Keamanan, menurut laporan Middle East Eye (MEE).

PA diminta menggunakan istilah ‘Samaria’, iaitu nama yang digunakan dalam tradisi Yahudi bagi merujuk kawasan tertentu di Tebing Barat.

Dakwaan itu didedahkan bekas Duta Britain ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jeremy Greenstock, yang memberitahu MEE bahawa Blair cuba memberi tekanan kepada PA berhubung perkara berkenaan.

Menurut Greenstock, Blair menyampaikan mesej PA perlu menunjukkan kesediaan mencapai persetujuan dengan Israel bagi menamatkan konflik yang tercetus sejak 7 Oktober sekiranya mahu dianggap oleh Lembaga Keamanan sebagai pihak yang mampu berunding.

Bagaimanapun, tuntutan itu ditolak Presiden PA, Mahmoud Abbas, kata Greenstock dalam wawancara menerusi David Hearst dalam audio siar.

Greenstock turut mendakwa Blair kini berdepan ‘kesukaran’ dalam usaha menguruskan Gaza selepas perang bagi pihak Lembaga Keamanan.

“Saya difahamkan beliau baru-baru ini diminta Lembaga Keamanan pergi ke Ramallah dan meminta supaya semua rujukan kepada perkataan Palestin dalam kurikulum dibuang jika mereka mahu dianggap mampu mencapai persetujuan dengan Israel bagi menamatkan konflik semasa yang tercetus sejak 7 Oktober 2023.

“Presiden Mahmoud Abbas berkata beliau tidak akan melakukan perkara demikian. Namun, hakikat Lembaga Ke­amanan boleh meminta perkara itu dilakukan dalam kurikulum Palestin membuatkan saya tertanya-tanya apakah prinsip yang menjadi pegangan lembaga itu dan sejauh mana mereka memahami soal keadilan, kewajaran serta sejarah konflik ini,” katanya.

Jurucakap Blair bagaimanapun menafikan bekas Perdana Menteri Britain itu pernah membuat permintaan berkenaan.

Israel dan penyokongnya didakwa semakin giat berusaha untuk memadamkan perkataan ‘Palestin’ daripada buku sejarah dan muzium.

Selasa lalu, pihak berkuasa Israel mula melaksanakan kurikulum mereka terhadap lebih 45,000 pelajar Palestin di sekolah kendalian kerajaan di Baitulmuqaddis Timur, sebagai sebahagian daripada tindakan lebih meluas untuk mengetatkan kawalan terhadap pendidikan di kawasan bandar yang diduduki itu.

MEE melaporkan kurikulum yang disemak kini diedarkan secara terhad untuk tujuan perbincangan dan mendapatkan pandangan di wilayah Pa­lestin yang diduduki Israel.

 

The post Lembaga Keamanan Gaza desak gugurkan nama Palestin daripada buku teks appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved