Lenovo hari ini telah mengumumkan ketibaan peranti gaming mudah-alih pertama mereka, Lenovo Legion Go secara rasmi setelah maklumat mengenainya diperlihatkan sedikit demi sedikit untuk beberapa bulan kebelakangan ini.

Bermula dengan spesifikasi konsol ini, Lenovo Legion Go akan dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 dan Z1 Extreme sama yang digunakan didalam konsol ASUS ROG Ally, dengan penawaran memori LPDDR5X sebanyak 16GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB. Untuk menambahkan storan pada peranti ini, ia juga dilengkapi dengan pembaca kad MicroSD yang boleh menyokong jumlah storan sehingga 2TB.

Dari segi paparan, Legion Go merumahkan paparan skrin IPS Lenovo PureSight dengan resolusi QHD+ bersaiz 8.8 inci dengan kadar segar semula sepantas 144Hz. Paparan ini juga mempunyai nilai kecerahan 500 nit dan boleh mengolah 97 peratus daripada gamut warna DCI-P3.
Ia juga digerakkan menggunakan sistem operasi Windows 11, yang membolehkan pengguna untuk merumahkan pelbagai gudang permainan komputer didalamnya, seperti Steam, Epic Games Store dan sebagainya.

Keunikan Lenovo Legion Go ini tampil pada kebolehan alat pengawal Legion TrueStrike sisinya untuk ditanggalkan dan digunakan secara nirwayar, sama seperti apa yang ditawarkan pada konsol Nintendo Switch. Dalam pada itu, bahagian pengawal analognya juga menggunakan suis Hall Effect yang mengurangkan isu “joystick drift” dan juga meningkatkan ketepatan alat kawalan berbanding dengan penggunaan pengawal analog yang biasa.

Konsol ini juga dimuatkan dengan bateri 49.2Wh yang boleh dicas sehingga 70 peratus melalui sistem pengecasan Super Rapid Charge dalam masa 30 minit sahaja. Untuk membantu dalam penyejukan Legion Go ini, sistem penyejukan Lenovo Coldfront digunakan, yang terdiri daripada kipas penyejukan liquid crystal polymer dengan 79 bilah digunakan untuk mengalirkan haba daripada komponen-komponen konsol ini ke bahagian luar.


Dari segi I/O, Lenovo Legion Go juga tampil dengan dua palam USB Type-C yang membolehkan pengguna untuk mengecas dan memasang aksesori pada konsol ini sekaligus. Palam Type-C ini juga menyokong sambungan DisplayPort 1.4 dan PowerDelivery 3.0. Dalam pada itu, dari aspek sambungan nirwayar, konsol ini juga menyokong WiFi 6E dan Bluetooth 5.2.

/
Lenovo mengumumkan juga bahawa konsol Lenovo Legion Go ini akan mula dijual pada bulan November 2023 dengan harga permulaan 799 Euro (~RM4000). Buat masa ini, kami diberitahu Lenovo Malaysia bahawa mereka masih lagi sedang dalam perbincangan untuk membawa masuk konsol ini ke pasaran tempatan.
