Lepas 500 bebola lumpur: Inisiatif UiTM, komuniti rawat Sungai Klang wajar dicontohi

3 May 2025 • 10:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

Oleh Ufairah Tarmidzi

KLANG, 3 MEI: Sebanyak 500 bebola lumpur yang dihasilkan pelajar Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dilepaskan ke Sungai Klang hari ini bagi membantu merawat ekosistem air tercemar.

Datuk Bandar Klang berkata program sempena River Ranger 2.0 di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Udang melibatkan lebih 100 peserta termasuk tenaga pengajar dan pelajar UiTM, komuniti setempat dan persatuan itu wajar dicontohi.

image is not available
Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain bercakap kepada Media ketika program River Ranger 2.0: River Cleanup di Kampung Sungai Udang, Klang pada 3 Mei 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR

“Saya melihat penghasilan bebola lumpur yang mengandungi mikroorganisma baik untuk memulihkan ekosistem sungai sebagai satu inisiatif yang wajar dicontohi dan diperluaskan.

“Bahan seperti tanah merah dan air basuhan beras digunakan sebagai alternatif semula jadi untuk meningkatkan kualiti air tanpa menambah pencemaran,” kata Dato’ Abd Hamid Hussain kepada Media Selangor.

Sementara itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM Shah Alam Prof Madya Ir Dr Azil Bahari Alias menjelaskan bebola lumpur bukan sahaja merawat pencemaran malah membantu menstabilkan nilai pH air serta memelihara ekosistem akuatik.

image is not available
Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM Shah Alam Prof Madya Ir Dr Azil Bahari Alias bercakap kepada media ketika Program River Ranger 2.0: River Cleanup di Kampung Sungai Udang, Klang pada 3 Mei 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR

“Program seperti ini juga membuka ruang kepada pelajar untuk mengaplikasi pengetahuan teori secara amali,” katanya.

Berlangsung dari 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, program berkenaan turut disertai warga Majlis Bandaraya Diraja Klang dan penduduk sekitar.

Selain gotong-royong, turut berlangsung pertandingan kutipan sampah, demonstrasi pembuatan enzim EM dan bebola lumpur, kuiz alam sekitar dan aktiviti kitar semula.

image is not available
Pelajar UiTM bersama sukarelawan mengutip sampah-sarap disekitar kawasan Sungai Klang ketika Program River Ranger 2.0: River Cleanup di Kampung Sungai Udang, Klang pada 3 Mei 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR

image is not available
Ketua Kampung Sungai Udang Klang, Zaki Jamil mencuba membuat bebola lumpur ketika Program River Ranger 2.0: River Cleanup di Kampung Sungai Udang, Klang pada 3 Mei 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR

image is not available
Pelajar UiTM Nur Izzah Insyirah Hashim, 24, (kanan) menunjukkan demo pembuatan bebola lumpur ketika Program River Ranger 2.0: River Cleanup di Kampung Sungai Udang, Klang pada 3 Mei 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR