
Oleh Ufairah Tarmidzi
KLANG, 3 MEI: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) tidak akan berkompromi malah akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang mencemarkan Sungai Klang.
Datuk Bandarnya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata antara tindakan yang dikenakan termasuklah menyita lori yang digunakan bagi tujuan tersebut selama sebulan.

“Kalau ikut Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171), hukuman denda RM1,000 akan dikenakan kepada individu yang melakukan aktiviti pembuangan sampah haram.
“Namun, bagi syarikat yang terlibat dalam pembuangan sampah haram di Sungai Klang, MBDK akan menyita lori yang terlibat selama sebulan sekiranya mereka didapati bersalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melepaskan bebola lumpur (mudball) pada program Pembersihan Sungai River Ranger 2.0 di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Udang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau mahu penduduk sekitar menjadi mata dan telinga kepada MBDK dengan melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sampah haram bagi memastikan kebersihan Sungai Klang terus terpelihara.

The post MBDK: Syarikat cemar Sungai Klang berdepan tindakan tegas termasuk sita lori appeared first on Selangorkini.


