
JELEBU – Tindakan pihak tertentu melepaskan ikan keli Afrika ke dalam saliran sawah di daerah ini mengundang kecaman susulan kebimbangan spesies pendatang itu mengancam ekosistem perairan tempatan.
Perbuatan tersebut tular menerusi rakaman video yang dimuat naik di TikTok oleh akaun mostakimmuhammad64 sebelum mendapat perhatian Facebook Jejak Air Tawar, semalam.
Menurut hantaran Jejak Air Tawar itu, keli Afrika atau Clarias gariepinus merupakan spesies invasif yang berisiko membiak dan mengancam populasi ikan tempatan.
Malah, spesies berkenaan mampu menjejaskan biodiversiti kerana mempunyai kadar pemakanan tinggi serta berpotensi mendominasi sumber makanan dan habitat ikan tempatan.
Katanya, pelepasan ikan asing ke perairan terbuka boleh menjadi kesalahan undang-undang, sekali gus menggesa Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan menjalankan siasatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan ikan tempatan bagi aktiviti pelepasan kerana benihnya mudah diperoleh, termasuk melalui bantuan Jabatan Perikanan.
Sementara itu, Kosmo! sedang mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan berhubung kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Lepas keli Afrika dalam parit sawah, undang kecaman appeared first on Kosmo Online.

