159 tan ikan bandar raya ditangkap sejak 2022

LocalEnvironment
24 Oct 2026 • 10:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 159 tan ikan bandar raya ditangkap sejak 2022

PETALING JAYA: Sebanyak 159 tan ikan bandar raya atau pleco berjaya ditangkap dan dilupuskan sejak 2022 bagi mengawal penyebaran spesies invasif yang mengancam ekosistem sungai tempatan.

Tangkapan tertinggi direkodkan di Sungai Klang apabila empat tan ikan berkenaan berjaya ditangkap dalam tempoh hanya empat jam.

Wakil Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA), Muhammad Haziq A. Rahman berkata, operasi terbaharu di Sungai Damansara, Sungai Langat dan Sungai Klang baru-baru ini berjaya mengumpulkan 3,330 kilogram ikan bandar raya dalam tempoh tiga hari.

Menurutnya, usaha berterusan itu penting bagi mengawal populasi ikan asing berkenaan yang boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem sungai tempatan.

Bagaimanapun, pelaksanaan operasi berskala besar memerlukan kos tinggi, khususnya bagi menampung perbelanjaan logistik, pengangkutan dan pelupusan ikan yang ditangkap.

Katanya, pihaknya perlu menyewa lori, jentera seperti backhoe serta tanah bagi menguruskan pelupusan ikan berkenaan.

“Perbelanjaan harian operasi boleh mencecah RM1,000 hingga RM1,500 bergantung pada skala aktiviti.

“Jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi tempoh 2022 hingga 2026 dianggarkan mencecah RM300,000 hingga RM400,000, termasuk kos peralatan dan logistik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, SPIA bergantung pada sumbangan dan kerjasama strategik syarikat korporat, pihak swasta serta agensi kerajaan bagi memastikan operasi dapat diteruskan.

Antara sokongan diterima ialah tajaan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SME Bank Group menerusi program kelestarian alam di Hulu Sungai Klang, Ampang, pada Oktober ini.

Dalam perkembangan positif, usaha menangkap ikan bandar raya menunjukkan perubahan ketara di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil apabila jumlah tangkapan semakin berkurangan berbanding peringkat awal operasi.

“Dahulu, kami boleh menangkap kira-kira satu tan ikan bandar raya dalam tempoh dua jam, tetapi sekarang untuk mendapatkan 100 kilogram pun sukar walaupun selepas empat jam operasi,” katanya.

Menurutnya, perkembangan itu memberi petunjuk positif terhadap usaha kawalan di lokasi berkenaan, namun pemantauan dan operasi susulan masih diperlukan bagi memastikan populasinya terus terkawal. – UTUSAN

The post 159 tan ikan bandar raya ditangkap sejak 2022 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved