Lepas Minum Air Piya Terus Rasa ‘Emotional’? Hati-hati, Mungkin Terkandung Bahan Halusinogen!

LocalHealth & Fitness
12 Jul 2025 • 4:53 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Baru-baru ini, tular di media sosial tentang satu minuman yang dikenali sebagai ‘Air Piya’ yang dikaitkan dengan sebuah program motivasi tular.

Selepas meminumnya, ramai peserta mendakwa mereka mengalami perubahan emosi yang luar biasa.

Ada yang tiba-tiba berani mendedahkan rahsia peribadi, menangis teresak-esak tanpa sebab, malah ada juga yang merasakan seolah-olah sedang mengalami pengalaman spiritual yang sukar dijelaskan.

Menurut hantaran di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM), minuman ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan kerana dipercayai mungkin mengandungi bahan psikoaktif seperti psilocybin.

Jelasnya, psilocybin ialah bahan halusinogen yang terkandung dalam kulat yang lebih dikenali sebagai magic mushroom dan sering dijumpai di lokasi pelancongan seperti Bali.

“Ada kemungkinan air ini dicampur dengan bahan psikoaktif seperti magic mushroom (psilocybin) yang boleh menyebabkan perubahan emosi dan tindak balas tubuh yang luar biasa,” katanya.

image is not available

PHM turut menjelaskan bahawa pengambilan bahan seperti ini boleh menyebabkan halusinasi visual dan auditori, ketawa atau tangisan tanpa sebab, rasa terpisah daripada realiti, muntah, loya serta tindakan luar kawalan yang boleh mencetuskan trauma lama.

Dalam kes tertentu, seseorang boleh mengalami ‘bad trip’, iaitu pengalaman mental yang menakutkan dan sukar dilupakan.

“Bahan ini boleh menyebabkan seseorang terlalu gembira, yakin secara tiba-tiba, dan terdorong untuk menyentuh, berpelukan atau bertindak secara impulsif.

“Ini berisiko menimbulkan perlakuan yang memalukan atau membahayakan,” jelas PHM lagi.

Selain itu, bahan halusinogen seperti psilocybin merangsang pengeluaran hormon dopamin dan serotonin, yang boleh mempengaruhi mood serta kawalan diri seseorang.

Ini menjadikan individu lebih mudah terdedah kepada tingkah laku berisiko, terutama dalam suasana tertutup atau dikawal secara emosi seperti dalam program motivasi.

PHM turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan apa yang diminum, terutamanya dalam program atau majlis yang tidak menyatakan kandungan minuman secara jelas.

Sekiranya seseorang masih menyimpan ‘Air Piya’, mereka disarankan untuk menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

“Jika benar minuman ini mengandungi psilocybin, ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Berhati-hatilah dengan apa yang anda minum. Bukan semua ‘air ajaib’ membawa kebaikan,” katanya.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.