Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Kalau sebut pasal tandas awam, mesti ramai yang bayangkan keadaan yang kotor, basah atau berbau kan? Tapi korang jangan risau, sebab lepas ni standard tandas awam dekat Malaysia bakal berubah sepenuhnya!
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) baru-baru ni menyasarkan supaya setiap ibu negeri di seluruh Malaysia akan ada sekurang-kurangnya sebuah tandas pintar Bersih, Menawan dan Wangi (BMW-i).
Tandas pintar Ini dibina sebagai penanda aras baharu untuk kemudahan awam kita, dengan kos pembinaan tidak melebihi RM1 juta sebuah.
Projek Bermula Di Putrajaya

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, projek ini dimulakan di Putrajaya dulu sebelum diperluaskan ke Kuala Lumpur dan ibu negeri lain seperti Ipoh, George Town, Kuching, Kota Kinabalu, serta Johor Bahru.
Beliau berkata walaupun kos yang digunakan adalah kurang daripada RM1 juta, namun ia meliputi pelbagai kemudahan moden dan pintar.
“Kita memilih untuk memulakannya di lokasi ini kerana Putrajaya merupakan pusat pentadbiran negara dan perlu menunjukkan teladan yang baik.
“Sebuah tandas pintar, kosnya kurang RM1 juta, yang meliputi semua pakej termasuk peralatan, landskap, pelantar tinjau, infrastruktur dan sistem. Jadi, kita menetapkan penanda aras bahawa kos bagi setiap tandas BMW-i tidak melebihi RM1 juta.”
Apa Yang Canggih Sangat Tandas BMW-i Ni?

Tandas BMW-i yang baru dirasmikan di Dataran Putra ni memang penuh dengan teknologi canggih.
Kalau korang nak tahu tandas BMW-i Dataran Putra dilengkapi pelbagai teknologi pintar termasuk mangkuk tandas dengan penutup tempat duduk dan sistem curahan automatik.
Bukan itu sahaja, pili air serta dispenser sabun tanpa sentuhan, sistem pewangi pintar berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT), indikator penggunaan kubikel serta sensor persekitaran bagi memantau pencahayaan, kualiti udara, paras ammonia, suhu dan kelembapan turut disediakan.
Kemudahan awam itu turut dilengkapi sistem pengiraan pengguna, pengesan asap, sistem pengering dan pembersihan lantai automatik, panel maklum balas pengguna, aplikasi mudah alih bagi menjejak kerja pembersihan serta papan pemuka pemantauan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan penyelenggaraan.
Nga berkata pengenalan tandas BMW-i merupakan kesinambungan usaha KPKT dalam mentransformasikan kemudahan awam negara melalui penggunaan teknologi pintar.
“Melalui BMW-i, kita mahu menyediakan kemudahan yang bukan sahaja bersih, menawan dan wangi, malah lebih pintar dan selesa untuk orang awam.
“Penggunaan teknologi pintar membolehkan tahap kebersihan dan penyelenggaraan dipantau secara lebih cekap, sistematik dan berterusan demi kesejahteraan rakyat serta meningkatkan imej negara.”
Ribuan Tandas Dah Dinaik Taraf
Untuk pengetahuan korang, KPKT dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebenarnya dah berjaya membina dan menaik taraf 11,835 tandas di seluruh negara mengikut standard BMW-i sejak tahun 2023!
Ini merangkumi 1,592 tandas awam PBT dan 10,243 tandas sekolah, malah daripada 3,940 tandas awam bawah PBT yang ada sekarang, 80.8% daripadanya dah dapat penarafan 4 bintang ke atas!
Langkah ini juga dilihat sebagai pelaburan strategik terutamanya dalam mempersiapkan Malaysia menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.
Bukan itu sahaja, KPKT juga bakal menganjurkan Majlis Anugerah Tandas Terbaik (TOTYA) 2026 pada 20 Oktober ini. Terdapat 8 kategori yang dipertandingkan merangkumi kompleks beli-belah, stesen minyak, hotel, R&R, restoran, sekolah, rumah ibadat, dan PBT untuk mengiktiraf pihak yang menjaga kebersihan tandas awam dengan cemerlang.
Sumber: Bernama & Facebook Nga Kor Ming
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.



