Lesen tak diperbaharui lebih tiga tahun, tak layak dapat subsidi RON95 – Loke

LocalPolitics
24 Sep 2025 • 7:07 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

PUTRAJAYA – Rakyat tempatan yang gagal memperbaharui lesen memandu melebihi tiga tahun tidak akan layak menerima subsidi petrol RON95 secara automatik menerusi program BUDI MADANI RON95, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau menjelaskan, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seramai 925,421 pemegang lesen masih belum memperbaharui lesen memandu masing-masing, dengan 154,641 daripadanya hampir mencecah tempoh tiga tahun.

“Lebih 154,000 orang ini nanti tidak layak menerima subsidi RON95 automatik kerana apabila lesen tidak sah, sistem Kementerian Kewangan (MOF) akan menyekat secara automatik.

“Saya menasihatkan lebih 925,000 orang yang walaupun lesennya masih aktif tetapi tidak diperbaharui, supaya segera memperbaharui lesen terutama mereka yang hampir capai tiga tahun,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, hari ini.

Anthony menegaskan, tindakan itu penting bagi memastikan hanya pemegang lesen sah sahaja yang layak mendapat manfaat subsidi tersebut.