SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan kesiapsiagaan operasi dengan memperkukuh rondaan di kawasan pagar sempadan, Sungai Golok dan laluan-laluan pencerobohan susulan 51 kejadian letupan bom dilaporkan berlaku di tiga daerah di Selatan Thailand Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tindakan itu diambil JKDNKA melalui Briged Tenggara dan Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA).
Menurutnya, risikan juga dipertingkatkan selaim perkongsian maklumat bersama agensi keselamatan Thailand, di samping menambah keanggotaan dan penggunaan aset perisai di lokasi strategik.
"Kejadian letupan dan serangan bersiri di wilayah selatan Thailand melibatkan Yala, Pattani dan Narathiwat merupakan satu perkembangan serius yang dipantau rapi oleh PDRM kerana berpotensi memberi implikasi terhadap keselamatan rentas sempadan.
"Setakat ini, tiada laporan rakyat Malaysia terjejas, manakala Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa Thailand bagi memantau situasi semasa," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Media melaporkan, Selatan Thailand kembali bergolak apabila 51 insiden keganasan berlaku secara serentak membabitkan Narathiwat, Yala dan Pattani dalam tempoh hampir dua jam, pada malam Sabtu.
Serangan yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah itu merangkumi pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar.
Mengulas lanjut, kata Mohd Yusri, selaras dengan kenyataan media bertarikh 23 Ogos 2026 yang dikeluarkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, rakyat Malaysia yang menetap, sedang berada atau merancang ke wilayah selatan Thailand dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan yang tidak mustahak, sentiasa berwaspada, mematuhi semua arahan keselamatan termasuk perintah berkurung jika dikuatkuasakan.
Katanya, warga Malaysia juga diminta mendaftar dan mengemas kini maklumat melalui portal e-Konsular bagi memudahkan bantuan konsular sekiranya berlaku kecemasan.
"JKDNKA memberi jaminan bahawa kawalan sempadan negara kekal berada pada tahap terkawal.
"Kita akan terus melaksanakan pendekatan pencegahan, pengesanan awal serta tindak balas pantas bagi memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara," ujarnya.


