Tiga bom meletup, 10 kampung di Sg. Golok bergegar

24 Aug 2026 • 8:40 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tiga bom meletup, 10 kampung di Sg. Golok bergegar

RANTAU PANJANG – Beratus-ratus penduduk yang mendiami 10 perkampungan di sepanjang Sungai Golok di sini cemas apabila kediaman mereka bergegar susulan 51 insiden keganasan termasuk beberapa siri letupan bom yang berlaku serentak di tiga daerah utama di Selatan Thailand kelmarin.

Lebih membimbangkan apabila penduduk mendakwa ada rumah yang hampir runtuh disebabkan gegaran kuat selepas tiga butir bom meletup.

Kejadian serentak dalam tempoh hampir dua jam yang bermula pukul 10 malam itu membabitkan Narathiwat, Yala dan Pattani dengan serangan dipercayai didalangi kumpulan pemisah.

Ia melibatkan insiden pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan serta letupan kedai serbaneka.

Susulan kejadian itu, penduduk di daerah ini yang tinggal berhampiran Sungai Golok ­mengakui terkejut dan menganggap insiden terbaharu itu antara yang terburuk pernah berlaku.

Difahamkan, lokasi kejadian terletak kurang 10 kilometer dari perkampungan penduduk.

Seorang peniaga, Che Zubaidah Che Kob, 48, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam ketika dia sedang berehat bersama keluarganya sebelum dikejutkan dengan gegaran kuat.

Bimbang kejadian yang tidak diingini, dia bersama suami dan anak-anak segera bergegas keluar dari rumah sebelum letupan bom ketiga kedengaran dari arah Sungai Golok.

“Saya terkejut kerana letupan kali ini sangat kuat sehingga menggegarkan kediaman penduduk yang berada di sepanjang Sungai Golok.

“Pada mulanya saya ingat ada berlaku kemalangan jalan raya kerana kami terdengar dentuman yang sangat kuat,” katanya ketika ditemui di Kampung Kedap di sini semalam.

Seorang penduduk, Yazid Mat Yusof, 65, pula tidak menyangka akan berlaku beberapa siri letupan kuat hanya dalam tempoh beberapa saat.

“Saya dengar tiga kali letupan bom dengan jarak beberapa saat.

“Sebenarnya penduduk di sini sudah biasa dengan bunyi letupan bom, tetapi kejadian kali ini dianggap terlalu kuat sehingga menyebabkan hampir semua rumah bergegar,” katanya.

Image from: Tiga bom meletup, 10 kampung di Sg. Golok bergegar
YAZID menunjukkan rumahnya di Kampung Kedap, Rantau Panjang berhampiran Sungai Golok yang turut merasai gegaran kuat susulan beberapa siri letupan bom di Selatan Thailand semalam. – ROHANA MOHD.NAWI.

Yazid berkata, selepas letupan berlaku, dia segera keluar untuk melihat keadaan di tebing Sungai Golok, namun tidak nampak sebarang percikan api atau kepulan asap ekoran suasana gelap.

Seorang lagi penduduk, Norizan Yusoff, 61, berkata, dia sempat menjenguk dari tingkap rumahnya selepas terdengar dua letupan kuat.

“Sebaik melihat keadaan di luar rumah, berlaku satu lagi letupan kuat sebelum beberapa penduduk lari meninggalkan rumah kerana bimbang keselamatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, sehingga pukul 12 tengah malam kelmarin, sebanyak 22 insiden direkodkan di Narathiwat, 18 di Yala dan 11 di Pattani.

Menurutnya, dua orang awam berusia dalam lingkungan 30-an cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terkena bom buatan sendiri (IED) di daerah Sungai Padi di sini, kira-kira pukul 8 hingga 8.45 malam.

“Susulan serangan terancang itu, Pasukan Petugas Khas Na­rathiwat mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh wilayah itu bermula pukul 10.15 malam hingga 6 pagi (semalam).

“Keputusan itu dibuat bagi memudahkan pasukan ­penyiasat polis dan tentera menjalankan siasatan rapi. Perintah berkurung peringkat kawasan juga dikenakan bagi menghalang orang ramai mendekati lokasi kejadian,” katanya semalam.

Menurutnya, daripada 22 insiden di Narathiwat, lima berlaku di Rangae, Chanae (empat), Bacho (tiga), Tak Bai (dua), manakala masing-masing satu di Si Sakhon, Waeng, Mueang Narathiwat, Cho Airong, Sungai Golok, Yingo, Rueso dan Sungai Padi.

Katanya, di Yala pula, sembilan insiden berlaku di Thanto, tujuh serangan di Bannang Sata dan dua di Raman.

“Daripada 11 insiden di Pattani, masing-masing tiga berlaku di Yarang dan Nong Chik selain dua di Yaring, manakala masing-masing satu di Saiburi, Thung Yang Daeng dan Khok Po.

“Pihak berkuasa sedang menyiasat dan menilai keadaan di setiap lokasi insiden yang telah dikepung dan anggota pasukan keselamatan sedang mengumpul maklumat serta bukti berkaitan untuk prosiding undang-undang,” katanya.

Jurucakap itu memberitahu, meskipun kesemua kejadian tidak melibatkan kawasan tumpuan pelancong, pihak berkuasa mengarahkan stesen minyak, kedai serbaneka dan premis berisiko tinggi di dalam atau sekitar bandar ditutup serta-merta.

Katanya, amaran tahap tinggi turut dikeluarkan kepada semua anggota keselamatan, manakala orang ramai diminta berhati-hati.

The post Tiga bom meletup, 10 kampung di Sg. Golok bergegar appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved