Letupan di Kem Hobart: TDM sahkan identiti dua anggota terkorban

16 Jun 2026 • 4:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Letupan di Kem Hobart: TDM sahkan identiti dua anggota terkorban
Koperal Norazmi (gambar kanan) dan Prebet Siti Khadijah cedera parah dalam kejadian pada 10.57 pagi tersebut.

KUALA LUMPUR - Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan identiti dua anggotanya yang terkorban dalam insiden letupan ketika latihan membaling grenad di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah pagi tadi.

TDM dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa ialah Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (1 RAJD).

Menurut kenyataan itu kedua-dua mangsa yang cedera parah dalam kejadian pada 10.57 pagi tersebut, disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

"Insiden berlaku semasa mangsa sedang menjalani Latihan Peningkatan Tempur RAJD Divisyen Kedua Infantri Malaysia. Jenazah kedua-dua anggota akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian membabitkan dua anggota keselamatan itu, pada 12.30 tengah hari tadi.

Menurut kenyataan itu Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman telah mengarahkan satu siasatan terperinci dijalankan segera bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.

"Beliau menzahirkan rasa dukacita di atas kehilangan dua warganya dan menyampaikan ucapan takziah buat kedua-dua keluarga mangsa dan mendoakan mereka bertabah dengan dugaan atas kehilangan orang tersayang," menurut kenyataan itu.

​TDM turut memberi jaminan segala aspek keselamatan latihan akan sentiasa diberi perhatian dan penambahbaikan sewajarnya akan dilaksanakan berdasarkan dapatan hasil siasatan kelak. - Bernama