Letusan Gunung Dukono di Indonesia: Tiada rakyat Malaysia dilapor terkesan

8 May 2026 • 10:11 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Letusan Gunung Dukono di Indonesia: Tiada rakyat Malaysia dilapor terkesan

JAKARTA, 8 MEI: Tiada rakyat Malaysia dilapor terlibat atau terkesan dalam insiden letusan Gunung Dukono di timur Indonesia, pada Jumaat, menurut Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Kedutaan itu berkata pihaknya memantau rapat perkembangan insiden berkenaan yang berlaku pada 7.41 pagi waktu tempatan dan setakat 3 petang, tiada laporan daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung warganegara Malaysia yang terkesan.

“Warganegara Malaysia yang terkesan dan berada di lokasi berhampiran boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +6281380813036,” menurut kedutaan itu dalam satu kenyataan di laman media sosialnya.

Menurut Agensi Berita Jerman (dpa), insiden itu meragut tiga nyawa termasuk dua warga Singapura.

Sehingga 4 petang, Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa 14 pendaki ditemukan selamat.

Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB Abdul Muhari berkata mereka yang ditemukan selamat itu termasuk tujuh warga Singapura terdiri daripada dua lelaki dan lima wanita, serta tujuh warga Indonesia terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita.

Gunung Dukono, yang terletak di bahagian utara pulau Halmahera di wilayah Maluku Utara, merupakan antara gunung berapi paling aktif di Indonesia dan kerap mengalami letusan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved