
Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton, tiba di Rafah, Mesir pada Selasa bagi melawat organisasi yang menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Hamilton sebelum ini lantang menyuarakan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan dan konflik di rantau berkenaan, selain menggesa supaya keamanan dapat dicapai.
Malah, beliau kerap berkongsi hantaran di media sosial mengenai kanak-kanak yang terkorban akibat serangan udara Israel di Gaza, selain menggesa gencatan senjata dilaksanakan.
Hamilton turut menyuarakan kebimbangan terhadap konflik lain yang berlaku di beberapa negara, termasuk Congo, Sudan dan Syria.
“Pada pandangan saya, kita perlu memastikan usaha membebaskan Congo, Sudan, Syria dan Palestin terus diperkasakan, selain berharap keamanan dapat dicapai suatu hari nanti,” katanya bulan lalu.
Lewis Hamilton Lawat Pusat Bantuan Kemanusiaan Gaza

Walaupun perjanjian gencatan senjata yang dicapai tahun lalu berjaya menghentikan pertempuran besar, jumlah bantuan ke Gaza masih jauh daripada sasaran minimum 600 trak sehari.
Pasukan Israel juga terus mara ke wilayah Gaza sehingga memperluas kawasan kawalan daripada 53 peratus kepada sekurang-kurangnya 60 peratus, menurut suruhanjaya bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu.
Serangan udara Israel masih berterusan di seluruh Gaza, manakala tembakan di sepanjang kawasan hadapan yang semakin mara mengorbankan sekurang-kurangnya 196 rakyat Palestin.
Menurut suruhanjaya itu, angka korban berkenaan termasuk 18 wanita, 32 kanak-kanak lelaki dan 11 kanak-kanak perempuan.
Sepanjang lawatan tersebut, Hamilton turut meninjau lintasan sempadan Rafah yang menghubungkan Mesir dengan Gaza sebelum mengunjungi gudang logistik Bulan Sabit Merah Mesir.
Organisasi berkenaan memainkan peranan penting dalam menyelaraskan kemasukan bantuan kemanusiaan dari Mesir ke wilayah Gaza.
Ketika berada di lintasan sempadan itu, Hamilton sempat mengucapkan 'Assalamualaikum', bersalaman dan berbual ringkas dengan petugas serta pegawai yang berada di lokasi berkenaan.

Gabenor Sinai Utara, Khaled Megawer berkata, lawatan itu bertujuan memberi peluang kepada Hamilton memahami usaha Mesir menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
Lawatan tersebut berlangsung selepas Hamilton membuat penampilan perlumbaan Formula Satu (F1) ke-400 pada Ahad lalu menerusi Grand Prix Sao Paulo di litar Interlagos.
Hamilton yang merupakan pelumba kulit hitam pertama dalam sejarah F1 memulakan kerjaya bersama pasukan McLaren pada 2007.
Beliau menjadi pelumba kedua dalam sejarah F1 yang mencapai 400 penampilan perlumbaan selepas bekas rakan sepasukannya, Fernando Alonso, mencatat pencapaian sama pada 2024.
Baca juga:



