LG Display baru-baru ini telah memperlihatkan teknologi pembinaan paparan skrin OLED terbaru mereka di acara IMID 2026 yang sedang berlangsung di Korea Selatan. Teknologi ini dinamakan FLiPP OLED, ataupun FMM-less Innovative Pixel Patterning.
Untuk proses pembuatan OLED tradisional, stensil FMM ataupun Fine Metal Mask digunakan untuk menyembur jaluran bahan organik untuk menghasilkan jaluran OLED merah, hijau dan biru pada permukaan substrat untuk menghasilkan paparan skrin OLED.

Isu dengan teknik menggunakan stensil FMM ini ialah apabila digunakan untuk menghasilkan saiz paparan yang besar, terdapat kebarangkalian bahawa stensil tersebut akan kendur apabila digunakan untuk menghasilkan jaluran yang lebih besar.
Kelebihan OLED FLiPP ialah dalam proses aplikasi bahan organik tersebut, daripada menggunakan stensil, LG Display menggunakan teknologi fotolitografi, yang mana bahan organik RGB akan disemburkan pada substrat terlebih dahulu, dan cahaya UV akan digunakan untuk memadamkan bahagian-bahagian yang tidak diperlukan daripada substrat untuk menghasilkan jaluran RGB tersebut.
Dengan proses pemadaman fotolitografik ini, LG Display boleh menghasilkan jaluran RGB OLED dengan peratusan apertur 55 peratus lebih tinggi berbanding menggunakan proses FMM, dan ini membolehkan mereka untuk menghasilkan paparan OLED dengan nilai kecerahan 1.6 kali lebih tinggi, jangkahayat panel 2.4 kali lebih panjang dan pengurangan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 13 peratus.

Proses ini juga membantu mengurangkan pembaziran substrat sebanyak 66 peratus kerana ia tidak perlu risau mengenai isu dimana substrat perlu dimuatkan pada stensil FMM. Bahan organik boleh disembur kepada keseluruhan permukaan substrat dan proses fotolitografi boleh memadamkan bahagian bahagian yang tidak diperlukan secara minima.
Panel OLED FLiPP ini juga boleh dimanfaatkan untuk berbagai jenis saiz dan bentuk paparan, dari panel OLED bersaiz 1 inci ke skrin gergasi bersaiz 100 inci tanpa masalah. Ia juga boleh digunakan untuk pelbagai jenis aplikasi, termasuklah televisyen, peranti boleh-pakai ke paparan pengiklanan bersaiz besar dan aplikasi-aplikasih khusus seperti set kepala realiti maya dan realiti terimbuh.
LG Display turut mengatakan bahawa panel OLED FLiPP ini akan dimanfaatkan untuk peranti-peranti seperti komputer riba dan tablet terlebih dahulu sebelum ia digunakan untuk panel lebih kecil dan besar seperti jam pintar, televisyen dan sebagainya.
Sumber: LG Display

