LG PuriCare AeroFurniture Dilancarkan Di Malaysia – Penapis Udara Dalam Bentuk Meja Kopi

TechnologyDigital
25 Sep 2024 • 11:37 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Antara perkara utama yang kita pelajari ketika pandemik ialah kualiti udara yang baik adalah penting untuk menjamin kesihatan. Ia turut memacu permintaan untuk penapis udara di rumah yang selama ini dilihat sebagai satu kemewahan tetapi kini menjadi satu keperluan khususnya bagi mereka yang tinggal di bandaraya utama. Hari ini, LG PuriCafe AeroFurniture dilancarkan di Malaysia dengan ia sebuah penapis udara yang direka untuk kelihatan seperti sebuah meja kopi di rumah.

image is not available

Harus diakui antara isu dengan penapis udara yang ditawarkan di pasaran ialah ianya besar dan sukar mencari lokasi ia patut diletakkan di rumah. AeroFurniture bukan sahaja lebih kecil tetapi mempunyai meja pada bahagian atas yang menjadikannya lebih praktikal serta hanya seberat sekitar 7 kilogram.

Setiap penapis AeroFurniture hadir dengan sistem penapis HEPA 360 darjah yang boleh menghapuskan 99.999% bakteria di udara dan juga memerangkap partikel debu sekecil 0.01 μm. Bagi memastikan udara yang ditapis semakin bersih, sistem UVnano juga disertakan sekali.

image is not available

Menambahkan lagi keunikan pada penapis ini ialah ia hadir dengan pengecas nirwayar terbina terus pada permukaan meja serta sistem lampu yang boleh diubah kepada lapan warna serta keterangannya. Kesemua ini dapat dikawal terus menerusi aplikasi LG ThinQ pada peranti pintar pemilik.

Sistem lampu ini turut mempunyai fungsi sekunder dengan ia berubah mengikut kualiti udara persekitaran. Hijau untuk baik sebelum bertukar menjadi oren atau merah mengikut tahap kehadiran partikel udara yang dikesan. Menurut LG lagi, pemilik juga tidak akan diganggu oleh deruman AeroFurniture kerana ia beroperasi dengan senyap sekitar 21 dB.

image is not available

Di Malaysia, LG PuriCare AeroFurniture dijual pada harga RM2500 sebuah dalam warna Graphite, Clay Brown dan Essence White bermula hari ini.