LHDNM Lanjutkan Tempoh PKPS Duti Setem 2026 Hingga 31 Disember

LocalBusiness & Finance
26 Jun 2026 • 4:54 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

LHDNM Lanjutkan Tempoh PKPS Duti Setem 2026 Hingga 31 Disember

LHDNM Lanjutkan Tempoh PKPS Duti Setem 2026 Hingga 31 Disember

Pembayar duti setem kini mempunyai tempoh tambahan selama enam bulan untuk menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) Duti Setem 2026 selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengumumkan lanjutan pelaksanaannya bermula 1 Julai hingga 31 Disember depan.

Menurut LHDNM, pelanjutan tempoh itu merupakan langkah kerajaan bagi terus menggalakkan pematuhan penyeteman secara sukarela selain memberi ruang kepada pembayar duti menyesuaikan diri dengan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS).

Katanya, inisiatif berkenaan juga dijangka dapat membantu mengurangkan ketidakpatuhan terhadap peruntukan di bawah Akta Setem 1949 di samping meningkatkan tahap pematuhan secara berterusan.

“Sepanjang tempoh PKPS Duti Setem 2026, semua surat cara yang disempurnakan mulai 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025 layak dipertimbangkan untuk pengecualian penalti,” katanya.

Baca juga:

Menurut LHDNM, pengecualian itu tertakluk kepada kuasa Pemungut Duti Setem di bawah Subseksyen 47A(2) Akta Setem 1949.

Katanya, penyeteman dan bayaran duti setem bagi surat cara terbabit perlu diselesaikan dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2026.

Tambahnya, pembayar duti tidak perlu mengemukakan sebarang rayuan penalti kerana pengecualian akan diberikan secara automatik sebaik bayaran duti setem dibuat.

Bagaimanapun, LHDNM berkata program tersebut tidak terpakai bagi kes yang melibatkan unsur penipuan atau fraud.

Menurutnya, semua surat cara yang disempurnakan dalam tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025 dan telah disetemkan di bawah PKPS Duti Setem 2026 juga tidak akan diaudit.

“Namun, pembayar duti masih boleh diaudit bagi surat cara lain yang tidak disetemkan di bawah program ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, LHDNM menggalakkan orang ramai supaya membuat permohonan penyeteman serta bayaran duti lebih awal bagi memastikan notis taksiran dapat dikeluarkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, peluang lanjutan ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong pematuhan cukai, kemampanan fiskal negara serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved