
KUALA KRAI – Perbuatan kejam seorang penoreh getah yang bertindak melibas parang dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang warga emas pada minggu lalu berbalas apabila Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Rais Imran Hamid selepas tertuduh, Mohd. Rezuan Muhamad @ Yusuf, 35, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu dituduh menakutkan secara jenayah terhadap Abdulhadee Chedah, 64, dengan cara melibas parang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kedua, Mohd. Rezuan didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa sama dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sebuah pondok bersebelahan tapak pelupusan sampah Majlis Daerah Kuala Krai, Pahi di sini kira-kira pukul 12 tengah hari pada 2 Oktober 2026.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd. Noor manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Farazalila Fauzi.
Terdahulu, Mazlinda mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan tersebut.
Farazalila dalam rayuannya memohon hukuman denda minimum dengan alasan tertuduh bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM150 seminggu.
“Tertuduh juga menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan anak berusia setahun,” ujarnya.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Rais Imran turut menasihati tertuduh agar mengambil pengajaran dan tidak mengulangi perbuatan berkenaan.
“Ambil pengajaran, dia sudah tua dan bukan ahli keluarga kamu. Dia takut dengan kamu. Ambil perhatian, kamu libas dia dengan parang dan saya tidak suka benda macam ini berlaku.
“Kamu ada anak kecil. Kalau anak kecil,isteri atau keluarga sendiri kena buat macam ini, mesti kamu akan marah,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan pertama dan enam bulan penjara bagi tuduhan kedua. Kedua-dua hukuman pemenjaraan itu berjalan serentak dari tarikh sabitan iaitu pada hari ini.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah bertanya kepada mangsa mengenai keberadaan anaknya ketika berada di pondok bersebelahan tapak pelupusan sampah Majlis Daerah Kuala Krai, Pahi di sini.
Tidak berpuas hati dengan jawapan mangsa, tertuduh bertindak mengacukan sambil melibas sebilah parang sebanyak beberapa kali sebelum menyepak warga emas itu dan terkena bahagian bibir sehingga mengalami kecederaan. – KOSMO! ONLINE
The post Libas warga emas dengan parang, penoreh getah meringkuk setahun dalam penjara appeared first on Kosmo Online.






