Cabul Anak Perempuan, Pemandu E-Hailing Dipenjara 48 Bulan, 4 Sebatan

6 Oct 2026 • 7:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Cabul Anak Perempuan, Pemandu E-Hailing Dipenjara 48 Bulan, 4 Sebatan

KOTA KINABALU - Seorang pemandu e-hailing berusia 44 tahun dijatuhi hukuman penjara 48 bulan dan empat sebatan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan anak perempuannya yang berusia 19 tahun.

Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.

Terdahulu, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan niat mencabul kehormatannya kira-kira jam 1 tengah hari, 27 April lalu, di sebuah bilik sewa di Inanam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ronnie Anthony, mangsa membuat laporan polis pada 9 Mei lalu berhubung kejadian serangan seksual yang dilakukan bapanya.

Siasatan mendapati kejadian berlaku di bilik sewa berkenaan selepas tertuduh memanggil mangsa supaya datang kepadanya sebelum menggunakan kekerasan fizikal terhadap anaknya.

Mangsa tidak melawan kerana ketakutan sebelum meninggalkan kediaman sewa bapanya pada 29 April lalu untuk mendapatkan perlindungan.

Siasatan lanjut turut mendapati kejadian sama pernah berlaku di Kunak pada 2025.

Ibu mangsa dikatakan mengetahui mengenai kejadian terdahulu itu, namun tidak membuat laporan polis selepas dipujuk tertuduh yang menggunakan alasan berkaitan agama untuk meyakinkannya supaya berdiam diri.

Tertuduh ditahan pada 30 April lalu.

Walaupun tiada saksi mata bagi kejadian berkenaan, keterangan yang diberikan mangsa membolehkan polis menjalankan siasatan dan seterusnya membawa kes itu ke mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam diperintahkan menjalani hukuman penjara berkenaan bermula dari tarikh dia ditangkap. - Getaran, 6 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved