
Liberty Media, syarikat gergasi yang baru sahaja mengambil alih hak penganjuran MotoGP daripada Dorna, kini dikhabarkan merancang untuk mengubah cara pengiraan kejuaraan dunia pelumba. Menurut laporan awal hanya kejuaraan dari kelas utama iaitu 500cc atau MotoGP yang akan diiktiraf dalam jumlah keseluruhan kejuaraan seseorang pelumba.
Jika perubahan ini diteruskan maka ia akan memberi impak besar kepada nama-nama legenda sukan ini. Sebagai contoh, jika Marc Marquez memenangi kejuaraan musim ini, ia akan dikira sebagai kejuaraan dunia ke-7 beliau bukan ke-9 seperti yang diterima selama ini kerana dua gelaran dari kelas lebih rendah iaiatu 125cc dan Moto2, tidak lagi diambil kira secara rasmi.
Perubahan ini juga bakal menjejaskan pencapaian ramai pelumba lain yang membina reputasi mereka dari kelas-kelas pembangunan. Langkah ini dilihat seperti hanya memfokuskan kepada kelas perdana semata-mata seakan-akan mengetepikan peranan penting kelas-kelas seperti Moto2 dan Moto3 dalam membentuk pelumba elit hari ini.
Liberty Media yang juga penganjur Formula 1 mungkin membawa pendekatan korporat berbeza ke dalam dunia MotoGP namun cadangan ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat dan komuniti sukan permotoran. Ramai menganggap ia satu tindakan tidak adil terhadap pelumba yang mengukir nama dari bawah dan memenangi gelaran dalam setiap peringkat kejohanan dunia.
The post Libert Media Hanya Fokus Kepada Kelas Utama MotoGP? appeared first on TW Media.
