
Kota Kinabalu: Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan Asean (Afeo) menganugerahkan Anugerah Honorary Fellow kepada bekas Menteri Pelancongan Sabah Datuk Seri Christina Liew sebagai pengiktirafan terhadap sokongannya dalam memperkukuh kerjasama kejuruteraan serantau.
Anugerah itu disampaikan sempena majlis makan malam ulang tahun ke-51 Institut Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sabah serta pelantikan pengerusi baharu cawangan berkenaan pada satu majlis yang berlangsung pada Sabtu malam.
Presiden IEM Ir. Yau Chau Fong berkata penghormatan itu mencerminkan penghargaan terhadap kepimpinan Liew dan peranan kementeriannya dalam menyokong Persidangan Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan Asean Ke-42 (Cafeo 42) yang dianjurkan di Kota Kinabalu pada 2024.
Menurutnya, penyertaan jurutera dari sembilan negara Asean dalam Cafeo 42 telah membantu mengukuhkan kerjasama serantau dalam profesion kejuruteraan.
Liew yang ketika itu memegang jawatan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata beliau berbesar hati menerima pengiktirafan terbabit dan mendedikasikan anugerah itu kepada komuniti kejuruteraan.
Beliau berkata kementeriannya telah menyokong Cafeo 42 termasuk melalui bantuan pembiayaan dan persembahan kebudayaan oleh Lembaga Kebudayaan Sabah memandangkan kepentingan acara itu terhadap ekonomi dan sektor pelancongan.
“Penganugerahan ini dikhaskan kepada individu cemerlang yang telah memberikan khidmat luar biasa kepada profesion kejuruteraan dan Asean,” menurut kenyataan IEM.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis berkenaan.
IEM berkata Liew sebelum ini dicalonkan untuk Anugerah Honorary Fellow Afeo dan pencalonan itu disahkan oleh lembaga pentadbir persekutuan terbabit pada Ogos 2025.


