Saloma Kuala Lumpur terus perkukuh jenama

Business & Finance
18 May 2026 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Saloma Kuala Lumpur terus perkukuh jenama
Pengiktirafan diterima Riza (tengah) memberi semangat baharu kepada beliau dan seluruh warga Saloma Kuala Lumpur.
Image from: Saloma Kuala Lumpur terus perkukuh jenama
Riza (kanan) menerima Anugerah Ikon Pelancongan Gastronomi Warisan, Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026.
Image from: Saloma Kuala Lumpur terus perkukuh jenama
Riza mengakui antara cabaran terbesar dalam memartabatkan gastronomi warisan ialah memastikan rasa makanan yang konsisten.

KONSEP gastronomi warisan yang diketengahkan Saloma Kuala Lumpur ternyata ‘menjadi’ apabila restoran berkenaan semakin dikenali dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa sehingga menjadi antara lokasi persinggahan pilihan ramai.

Kerana itu, Saloma Kuala Lumpur terus mempergiat usaha demi mengangkat lokasi tersebut serta kawasan sekitarnya sebagai one-stop centre pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan 2027.

Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Seri Dr Riza Che Umar berkata, pelbagai program kebudayaan dan aktiviti tradisional dirancang bagi menambah tarikan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman makanan, budaya dan hiburan dalam satu lokasi.

"Kita semua tahu tahun ini adalah Tahun Melawat Malaysia 2026 dan akan dilanjutkan sehingga 2027.

"Jadi, ini adalah peluang yang sangat besar untuk kita di Saloma Kuala Lumpur menjadikan Saloma KL dan kawasan sekitarnya sebagai pusat pelancongan.

"Kita mahu jadikan tempat ini sebagai one-stop centre untuk pelancong asing dan tempatan singgah apabila datang ke Kuala Lumpur," katanya.

**media[3523852]**

Riza berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan pusat pelancongan berhampiran dalam memperluaskan aktiviti dan promosi bagi memastikan kawasan tersebut terus menjadi tumpuan pengunjung.

Mengulas mengenai identiti Saloma Kuala Lumpur, beliau menyatakan, konsep gastronomi warisan dan budaya telah dirancang sejak awal proses pembentangan tender bagi memulakan operasi perniagaan di lokasi tersebut.

Tambahnya, elemen tradisi tersebut diterapkan menerusi menu makanan, persembahan kebudayaan dan suasana restoran yang menampilkan identiti tempatan meskipun kebanyakan premis makanan dan minuman (F&B) kini cenderung mengetengahkan konsep moden.

"Alhamdulillah, bila saya dapat tender, saya terus kekalkan apa yang saya mahu.

"Contohnya, macam menu-menu tradisi Melayu, persembahan kebudayaan, suasana ada suasana di dalam, mungkin tidak di luar, tetapi di dalam yang memerlukan tradisi budaya,” katanya.

Tambah beliau, gabungan elemen budaya, suasana dan lokasi strategik dengan pemandangan ikonik Kuala Lumpur menjadi kekuatan utama restoran itu untuk terus kekal relevan dalam industri F&B yang kompetitif.

Justeru, beliau melihat konsep gastronomi di Saloma Kuala Lumpur sebagai satu peluang besar dalam menjadikan restoran tersebut sebagai tarikan pelancong di ibu kota Kuala Lumpur.

"Sebabnya, kita tidak ada satu tempat yang menggabungkan suasana, kebudayaan dan pengalaman makan dalam satu lokasi.

"Sesuatu tempat itu perlu ada vibe, semua elemen perlu lengkap supaya ia benar-benar menjadi tarikan," menurutnya.

Beliau berkata, populariti Saloma Kuala Lumpur turut dipengaruhi oleh pendedahan meluas di media sosial termasuk TikTok sehingga ramai pelancong asing sudah mengetahui mengenai restoran itu sebelum tiba di Malaysia.

"Pada waktu ini, saya difahamkan oleh pelancong bahawa mereka sudah mengetahui tentang Restoran Saloma Kuala Lumpur sebelum berkunjung ke sini.

"Mereka sudah rancang untuk singgah ke restoran kami sebelum sampai ke Malaysia," katanya.

**media[3523849]**

Antara cabaran dan tanggungjawab

Riza yang juga penerima Anugerah Ikon Pelancongan Gastronomi Warisan, Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026 mengakui antara cabaran terbesar dalam memartabatkan gastronomi warisan ialah memastikan rasa makanan yang konsisten serta kefahaman pelancong terhadap keunikan hidangan yang ditawarkan.

Jelas beliau, latihan berterusan kepada kakitangan amat penting supaya mereka mampu menerangkan asal-usul makanan dan pengalaman budaya kepada pelanggan.

"Bagi saya mudah sahaja, apa yang saya sendiri mahukan apabila menjamu selera di luar, itu yang saya jadikan elemen penting di Saloma Kuala Lumpur.

"Kalau saya keluar makan, saya mahu makanan yang sedap. Saya juga mahu suasana dan vibe yang selesa," tambahnya lagi.

Mengulas mengenai pengiktirafan diterima, beliau menyifatkan anugerah tersebut sebagai penghargaan besar terhadap perjuangan lebih dua dekad dalam dunia perniagaan khususnya sektor F&B.

“Anugerah ini bukan hanya trofi bagi saya. Bagi saya ia satu pengiktirafan luar biasa dan melambangkan kecekalan dalam menguruskan perniagaan F&B.

"Saya berharap anugerah ini memberi semangat baharu kepada saya, pasukan dan seluruh warga Saloma Kuala Lumpur.

"Terima kasih atas penghargaan ini dan saya melihatnya sebagai permulaan kepada satu tanggungjawab yang lebih besar," ujarnya.