“Life Is Not Easy, Alief Rayyan…” Kisah Kanak-Kanak Didakwa Didera Sejak Kecil Buat Ramai Menitis Air Mata

LocalFamily & Parenting
8 Jul 2026 • 2:13 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: “Life Is Not Easy, Alief Rayyan…” Kisah Kanak-Kanak Didakwa Didera Sejak Kecil Buat Ramai Menitis Air Mata

KUALA LUMPUR – Tiada siapa memilih jalan hidup yang penuh derita, apatah lagi ketika usia masih terlalu muda. Perkongsian mengenai Alief Rayyan yang didakwa melalui pengalaman pahit sejak kecil menyentuh hati ramai sehingga mengundang ribuan doa daripada warga maya.

Menerusi hantaran di Threads oleh pengguna @wannorasikin_wm, seorang wanita berkongsi kisah anak saudaranya itu yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-13.

Didakwa Lalui Episod Hitam Sejak Kecil

Menurut wanita berkenaan, Alief kehilangan ibu ketika berusia lima tahun sebelum didakwa menjadi mangsa penderaan oleh ibu tiri dan bapa kandungnya antara usia tujuh hingga 10 tahun.

Dia mendakwa sepanjang tempoh itu, Alief hidup dalam serba kekurangan, termasuk makan di atas tikar, tidur hanya beralaskan sehelai toto di dapur serta menanggung trauma akibat layanan yang diterimanya.

Malah, wanita itu turut mendakwa masih terdapat kesan cubitan pada lengan Alief yang menjadi saksi kepada episod hitam yang pernah dilaluinya.

Kini Di Bawah Jagaan Ibu Saudara

Namun, di sebalik segala kepahitan itu, wanita tersebut percaya kehidupan Alief kini telah berubah selepas berada di bawah jagaannya.

“Life is not easy, Alief Rayyan. I can never replace your late mom but I will always be here for you, protecting you and loving you as my own child. Happy 13th Birthday, my nephew,” tulisnya.

Menjengah ke ruangan komen, wanita itu memaklumkan dia kini mempunyai hak penjagaan penuh terhadap Alief selepas melalui proses mahkamah dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dia turut mendakwa ketika Alief diserahkan kepadanya pada usia 10 tahun, berat badan kanak-kanak itu hanya sekitar 39 kilogram, kelihatan cengkung serta mempunyai beberapa parut pada tubuhnya.

Wanita itu turut menjelaskan bahawa dia merupakan adik kepada arwah ibu Alief dan berjanji akan terus menjadi tempat Alief berlindung serta membesar dengan penuh kasih sayang.

Warga Maya Titip Doa Buat Alief

Perkongsian itu mengundang sebak dalam kalangan warga maya. Rata-rata mendoakan agar Alief terus diberi kekuatan untuk melupakan kisah silamnya, selain membesar sebagai insan yang berjaya dan dikelilingi insan yang benar-benar menyayanginya.

Malah, ada juga yang memuji keikhlasan wanita berkenaan kerana sanggup mengambil tanggungjawab menjaga anak saudaranya sehingga memperoleh hak penjagaan penuh. Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman hidup masing-masing sebagai mangsa penderaan ketika kecil, selain berharap Alief dapat meneruskan kehidupan dengan lebih tenang dan bahagia bersama keluarga yang menyayanginya.

Bagaimanapun, setakat artikel ini ditulis, dakwaan tersebut adalah berdasarkan perkongsian pengguna Threads @wannorasikin_wm dan belum disusuli sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa atau pihak yang didakwa. – The Malaysian Update


Sokong TMU

Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.

Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.

Sokong TMU di sini

The post “Life Is Not Easy, Alief Rayyan…” Kisah Kanak-Kanak Didakwa Didera Sejak Kecil Buat Ramai Menitis Air Mata appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved