
BOURNEMOUTH – Pengendali Bournemouth, Marco Rose menyifatkan kemenangan 3-0 ke atas AC Milan dalam aksi Liga Europa sebagai antara malam paling bermakna buat kelab itu selepas anak buahnya mempamerkan aksi cemerlang dari awal hingga akhir perlawanan.
Rose berkata, kejayaan menewaskan kelab yang pernah menjulang tujuh gelaran Eropah itu membuktikan Bournemouth mampu bersaing dengan pasukan besar, namun menegaskan pemainnya perlu kekal merendah diri sepanjang musim.
“Malam yang hebat buat kami. Saya gembira untuk kelab, terutama penyokong dan sangat bangga dengan pemain. Cara mereka beraksi dari minit pertama hingga akhir memang cemerlang,” katanya.
Bournemouth membuka jaringan menerusi sepakan penalti Justin Kluivert, sebelum Marcus Tavernier menggandakan kelebihan menerusi sepakan penalti kedua susulan tindakan penjaga gol Milan, Mike Maignan yang menolak Tyler Adams ketika sepakan sudut.
Situasi Milan bertambah buruk apabila Maignan dilayangkan kad merah selepas insiden itu, sekali gus menyaksikan pasukan pelawat terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain dalam perlawanan yang berlangsung sengit di bawah cuaca hujan.
Bournemouth kemudian melengkapkan kemenangan bergaya menerusi sepakan percuma menarik Amine Adli sekali gus menyaksikan Rose memuji disiplin pasukannya yang tidak memberi ruang kepada Milan untuk bangkit.
“Walaupun ketika kedua-dua pasukan masih bermain dengan 11 pemain, kami bermula dengan baik dan memberi tekanan kepada mereka. Kad merah mengubah perlawanan, tetapi dalam situasi seperti ini, kadangkala pasukan boleh menghadapi masalah. Kami menguruskannya dengan sangat baik dan tidak memberi mereka peluang,” ujarnya.
Kemenangan itu meneruskan permulaan cemerlang Bournemouth dalam kempen Eropah pertama mereka apabila mencatat tiga kemenangan daripada tiga perlawanan, sekali gus melonjak ke tangga ketiga carta Liga Europa. – AGENSI
The post Liga Europa: Bournemouth berjaya malukan Milan appeared first on Kosmo Online.


