Liga Super: JDT baham Skuad Rusa 3-0

LocalFootball
11 Sep 2026 • 11:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Liga Super: JDT baham Skuad Rusa 3-0

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menunjukkan belang selaku gergasi bola sepak tempatan apabila membaham Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.

Kemenangan bergaya itu menyaksikan Harimau Selatan tidak memberi ruang kepada Skuad Rusa untuk bernafas apabila menguasai permainan sejak wisel permulaan, sekali gus mengutip tiga mata penting bagi terus mengukuhkan kedudukan dalam carta liga.

JDT yang tampil dengan misi memburu kemenangan terus melancarkan serangan bertali arus dan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi Zaheditabar Shahab, namun rembatannya selepas bola ditepis penjaga gol NSFC, Muhammad Azri, sekadar menggegar tiang gol.

Bagaimanapun, Zaheditabar tidak perlu menunggu lama untuk mencatat nama sebagai penjaring apabila seminit kemudian dia meledak gol pembukaan JDT selepas Kevin Medina bijak mencuri bola sebelum melorongkan hantaran kepada pemain kelahiran Iran itu untuk melepaskan rembatan menewaskan Muhammad Azri.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Daniel Alcaniz cuba memperkemaskan benteng pertahanan bagi menyekat gelombang serangan JDT, namun kubu Skuad Rusa sekali lagi runtuh apabila Bergson da Silva menggandakan kelebihan tuan rumah menerusi penyudah kemas hasil hantaran ketua pasukan, Mohd. Afiq Fazail.

Memasuki babak kedua, NSFC tampil dengan pendekatan lebih agresif apabila meninggalkan corak bertahan untuk memburu gol bagi merapatkan jurang, sekali gus memaksa barisan pertahanan JDT bekerja lebih keras.

Pada minit ke-55, Alif Mutalib hampir menghidupkan peluang Skuad Rusa apabila melepaskan rembatan, namun percubaan tinggi itu hanya melambung melepasi palang gol JDT yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi.

NSFC terus menggandakan tekanan dan sekali lagi hampir memperoleh jaringan menerusi pemain import, Yuichi Hirano, namun sepakannya dinafikan palang gol, sekali gus menggagalkan usaha pelawat untuk merapatkan kedudukan.

Ketika pelawat rancak memburu gol, JDT pula menghukum kelekaan mereka menerusi serangan balas pantas apabila Arif Aiman melakukan dorongan sebelum Marcos Guilherme menyudahkan gerakan tersebut untuk menghasilkan gol ketiga tuan rumah.

Jaringan itu mematikan terus harapan Skuad Rusa untuk bangkit dan memastikan JDT menutup aksi dengan kemenangan 3-0, sekali gus terus membuktikan ketajaman Harimau Selatan yang cukup klinikal menghukum setiap kelekaan lawan dalam usaha mengukuhkan kedudukan dalam persaingan Liga Super. – KOSMO! ONLINE

The post Liga Super: JDT baham Skuad Rusa 3-0 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved