
SEREMBAN: Peluang mengutip satu mata ternyata melegakan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang mencatatkan keputusan seri, 2-2, menentang Star City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini semalam.
Pasukan itu sebenarnya hampir tewas sehingga minit ke-90 perlawanan sebelum penyerang, Muhammad Akhyar Rashid menjadi penyelamat dengan menjaringkan gol penyamaan pada masa tambahan memasuki minit ke-4.
Pencapaian itu sudah tentu memberi kesan yang positif selepas pasukan itu mengalami dua kekalahan, masing-masing dalam Liga Super dan pemulaan saingan Piala FA.
Pasukan itu tewas, 0-2, kepada Kelantan FC dalam pusingan pertama Piala FA di Kota Bharu, Rabu lalu dan tumpas kepada Melaka FC, 1-2, dalam Liga Super pada 30 Ogos lalu.
Ketua Jurulatih NSFC, Daniel Gimenez Alcaniz berkata, perasaan beliau bercampur baur selepas perlawanan dengan Star City semalam.
“Rasa gembira, rasa marah, rasa seperti menang, rasa seperti kalah, saya tidak tahu. Tapi kami bersyukur kerana akhirnya dapat mengutip satu mata penting.
“Tetapi saya lega kerana para pemain terus mengasak hingga ke masa penamat,” katanya selepas tamat perlawanan tersebut.
Dalam perlawanan itu, Star City mendahului dengan gol pada minit ke-38 dan 47 sebelum NSFC merapatkan kedudukan pada minit ke-77 melalui sepakan penalti dan gol penyamaan pada minit ke-94.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Star City, Mehmed Durakovic berkata, secara keseluruhan, pasukannya telah mempamerkan permainan yang baik dengan kawalan bola mengatasi pasukan lawan.
Malah, katanya, pada satu ketika pasukan itu hampir mencatatkan kemenangan pertama selepas tewas dua perlawanan awal musim ini.
“Sehingga minit ke-90, kami berada di depan dengan dua gol sebelum tuan rumah mendapat sepakan penalti dan gol penyamaan di minit akhir.
“Ia agak menghampakan tetapi kami akan balik dan berlatih dengan lebih keras membentuk pasukan yang mampu memberi saingan terbaik kepada pasukan lawan,” ujarnya.-UTUSAN
The post Negeri Sembilan lega, Star City mahu berlatih lebih keras appeared first on Utusan Malaysia.






