
SELEPAS dihimpit jadual padat sehingga mengharungi lebih 50 perlawanan kompetitif musim lalu, Selangor FC kini mahu menjadikan fokus kepada saingan domestik sebagai senjata utama untuk kembali ke pentas Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon percaya pengurangan komitmen di pentas antarabangsa memberi ruang lebih besar buat Gergasi Merah mencurahkan sepenuh tenaga bagi memburu kejayaan dalam saingan Liga Super yang bermula hari ini.
“Kita mahu perbaiki berbanding musim lepas, sangat jelas. Saya percaya para pemain dan jurulatih akan memberikan yang sebaiknya.
“Sudah tentu, apabila kita ada saingan domestik sahaja, fokus yang lebih dapat diberikan, perjalanan dan sebagainya telah berkurangan.
“Saya percaya ini memberikan ruang terbaik untuk pemain-pemain lebih fokus kepada saingan tempatan,” katanya.
Musim lalu menyaksikan Selangor berdepan jadual luar biasa padat apabila beraksi dalam Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA, Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Liga Kejuaraan ASEAN (ACC), dengan keseluruhan 52 perlawanan rasmi direkodkan.
Johan mengakui situasi berkenaan bukan sesuatu yang pernah mereka lalui sebelum ini dan pengalaman itu menjadi antara faktor penting dalam merancang kempen baharu.
Selepas hanya memberi tumpuan kepada kancah domestik musim ini, Selangor kini memasang sasaran jelas untuk kembali mewarnai saingan Asia pada musim 2027-28.
“Saya rasa tahun lepas kita cipta rekod bermain paling banyak perlawanan dalam semusim iaitu 52 perlawanan rasmi. Kita belum pernah hadapi situasi tersebut
“Kini, sasaran sudah tentunya kita kena layak ke pertandingan Asia musim berikutnya,” katanya.
The post Liga Super: Selangor tenang buru sasaran appeared first on Kosmo Digital.



