Carolan gilir pemain Speedy Tigers elak cedera

1 Aug 2026 • 9:47 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Carolan gilir pemain Speedy Tigers elak cedera

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki negara, Brendon Carolan akan melakukan penggiliran pemain bagi mengelakkan isu kecederaan ketika Malaysia mengharungi jadual padat dalam tempoh dua bulan terdekat.

Speedy Tigers akan beraksi di Piala Dunia 2026 di Belgium dari 15 hingga 30 Ogos sebelum kembali beraksi di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang berlangsung kurang tiga minggu kemudian, bermula 19 September hingga 4 Oktober.

Situasi berkenaan menyaksikan barisan pemain negara perlu mengekalkan tahap kecergasan terbaik bagi menghadapi dua kejohanan utama berturut-turut.

Carolan berkata, dia telah merangka sistem penggiliran tetap bagi memastikan beban kerja diagihkan secara seimbang dalam kalangan pemain, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan akibat keletihan.

“Kami mempunyai sistem penggiliran tetap untuk memastikan setiap pemain mendapat beban kerja yang sama dalam perlawanan. Jadi, ia tidak bergantung kepada seorang atau dua individu sahaja.

“Tenaga dikongsi bersama kumpulan 18 pemain yang dipilih pada hari tersebut. Mereka mempunyai sistem penggiliran tetap dan ini juga membantu memastikan kita mempunyai pakar pukulan sudut penalti, pelari sudut penalti  serta pemain yang sesuai berada di atas padang pada setiap masa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Walaupun mengakui Sukan Asia menjadi keutamaan kerana juara akan meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, namun Carolan enggan memandang ringan cabaran di Piala Dunia.

Menurutnya, kejohanan di Wavre itu tetap mempunyai nilai yang besar dalam proses mempersiapkan pasukan menghadapi misi lebih penting di Aichi-Nagoya.

“Dalam latihan, pemain sudah menunjukkan peningkatan dari segi kawalan bola dan tidak mudah kehilangannya. Kami bekerja keras memantapkan struktur pertahanan. 

“Saya percaya dengan persediaan yang ada, pemain akan membuat lebih sedikit kesilapan di peringkat Piala Dunia nanti.

“Sasaran kita adalah Sukan Olimpik dan untuk layak, kita perlu mampu menewaskan pasukan dalam kelompok lapan terbaik dunia. Itu adalah fakta yang perlu kita hadapi,” katanya.-UTUSAN

The post Carolan gilir pemain Speedy Tigers elak cedera appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved