
BIARPUN bakal menghadapi cabaran getir berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC (TFC) tekad untuk ‘melawan’ bagi memburu keputusan positif pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.
Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, persiapan rapi sudah dilakukan dengan penekanan diberikan terhadap memperbaiki kelemahan pasukan selain mengelak melakukan kesilapan mudah ketika berdepan Harimau Selatan.
Menurut beliau, TFC mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi mendapatkan mata berharga biarpun sedar reputasi gah dimiliki JDT.
“Kita tahu JDT satu pasukan yang kuat, kita perlu lebih bersedia dan mengelak sebarang kesilapan mudah. Apapun terjadi, kita tetap akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan mata,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Mengulas persiapan pasukan selepas berehat panjang, Nafuzi berkata, anak-anak buahnya telah menunjukkan komitmen tinggi bagi meningkatkan prestasi masing-masing.
Bekas penyerang Terengganu itu berkata, dua aksi persahabatan menentang pasukan dari Kelantan sepanjang tempoh rehat turut membantu mengekalkan momentum pasukan.
“Aspek serangan dan pertahanan antara yang diberi fokus bagi memperbaiki kelemahan sebelum ini. Ada perubahan positif sepanjang latihan dan kita berharap dapat menterjemahkannya dalam perlawanan,” ujarnya.
Nafuzi turut berharap pemainnya dapat memberikan persembahan terbaik dan memanfaatkan peluang terhidang bagi mencabar kekuatan JDT.
The post Liga Super: TFC enggan berikan laluan mudah, sedia cabar JDT appeared first on Kosmo Online.


