
KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 menentang Penang FC dalam aksi ketiga Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di sini, malam ini.
Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan Nafuzi Zain kini tercicir lima mata dalam tiga perlawanan di laman sendiri manakala Penang FC meraih mata pertama dalam saingan Liga Super.
Pemain import TFC, Gervane Kastaneer hampir meletakkan Sang Penyu di depan namun jaringan penyerang skuad Piala Dunia 2026 Curacao itu pada minit ke-10 dibatalkan kerana ofsaid dalam gerakan sebelumnya.
Penang FC turut mempunyai peluang untuk membuka jaringan menerusi tendangan Shahrel Fikri Md. Fauzi dari luar kotak penalti yang terkena tiang gol.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama permainan walaupun masing-masing mempunyai peluang untuk menembusi gawang lawan.
Peluang terbaik TFC babak kedua hadir pada minit ke-78 menerusi rembatan kencang penyerang naturalisasi negara, Romel Morales yang sedikit tersasar.
TFC memperoleh sepakan percuma di hujung permainan namun sepakan Morales terkena benteng pertahan pemain lawan.
Dua minit selepas itu, Penang FC memperoleh peluang terakhir untuk memenangi perlawanan menerusi sepakan perrcuma namun gagal dimanfaatkan pemain mereka.
Kedudukan jaringan itu kekal sehingga wisel penamat permainan ditiupkan pengadil bertugas. – UTUSAN
The post Liga Super: TFC, Penang FC berkongsi mata di Gong Badak appeared first on Utusan Malaysia.



