
KENINGAU: Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) akan membangunkan kawasan seluas 193.69 hektar di daerah ini, tahun ini, dengan ladang getah di bawah Program Berimpak Tinggi (HIP).
Pengerusi LIGS, Datuk Edward Linggu berkata, program ini merangkumi penanaman baharu dan penanaman semula getah secara berkelompok, yang dijangka memberi manfaat kepada seramai 64 pekebun kecil di daerah ini.
Katanya, sejak 2012, LIGS melaksanakan program untuk membangunkan tanah milik pekebun kecil di daerah ini di bawah program yang dahulunya dikenali sebagai Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan kini dikenali sebagai Projek Berimpak Tinggi (HIP).
“Tahun lepas, LIGS telah melaksanakan kawasan seluas 3,286.29 hektar tanaman getah melibatkan 1,082 pekebun kecil di daerah ini dengan peruntukan RM46 juta,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) di dewan masyarakat di sini.
Katanya, pelaksanaan program ini pada asasnya adalah untuk menyediakan sumber pendapatan stabil dan mampan kepada pekebun kecil getah melalui tanaman getah berkualiti tinggi, selain mengurangkan kadar dan membasmi kemiskinan tegar masyarakat luar bandar.
Edward memberitahu, sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap industri getah di negeri ini, LIGS turut menjalankan operasi pembelian secara langsung daripada pekebun kecil getah di seluruh Sabah.
Sehubungan itu, beliau berkata salah satu kelebihan daripada segi harga yang diamalkan LIGS dalam pembelian ialah ‘Satu Sabah Satu Harga.’
“Ini bermakna harga getah di Keningau adalah sama dengan harga getah di daerah lain di negeri ini, dan harga getah yang diseragamkan menunjukkan layanan sama rata kepada semua pekebun kecil tanpa mengira lokasi jualan.
“Kerajaan negeri melalui LIGS akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pekebun kecil dan masyarakat luar bandar bagi membantu mengurangkan kadar kemiskinan dan juga menangani peningkatan kos sara hidup.
“Peruntukan yang disalurkan akan dimanfaatkan sebaik mungkin agar ia memberi manfaat yang amat besar kepada masyarakat luar bandar, khususnya pekebun kecil bagi meningkatkan ekonomi dan taraf hidup,” katanya.
Katanya, pembayaran bantuan BMT yang diadakan hari itu menunjukkan kesungguhan LIGS untuk menyalurkan sebaik bantuan diterima.
Selain pekebun kecil berdepan situasi ekonomi tidak menentu ini, beliau berkata beberapa isu semasa yang mereka hadapi menyebabkan mereka berada dalam keadaan terbeban. Ini termasuk kenaikan harga input pertanian, harga komoditi tidak stabil dan ancaman penyakit daun getah yang sedang melanda di merata tempat.
Edward berharap bantuan BMT yang diberikan itu dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pekebun kecil getah di daerah ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan pekebun kecil yang akan menerima BMT di Keningau adalah seramai 10,633 orang dengan peruntukan RM8.5 juta.
“Sesuai dengan arus pemodenan pembangunan, khususnya dalam pembangunan ekonomi rakyat di negeri ini, kerjasama tenaga daripada pekebun kecil dan semua pihak amat penting.
“Saya menyeru agar pekebun kecil terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada LIGS dan bersama-sama bekerja keras untuk membawa industri getah di negeri ini ke tahap yang akan dinikmati generasi akan datang,” katanya.
Seramai 50 pekebun kecil menerima BMT sebanyak RM800 seorang, dan disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng; Ketua Polis Daerah, DSP Nor Rafidah Kasim dan pegawai LIGS.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



