Lim Kang Hoo sedia labur RM355.8 juta dalam Ekovest, berpotensi cetus tawaran mandatori

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 9:34 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lim Kang Hoo sedia labur RM355.8 juta dalam Ekovest, berpotensi cetus tawaran mandatori Image from: Lim Kang Hoo sedia labur RM355.8 juta dalam Ekovest, berpotensi cetus tawaran mandatori liza18/08/2026 - 09:34 Gambar kecil - Tan Sri Lim Kang Hoo Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Pemegang saham terbesar Ekovest Bhd, Tan Sri Lim Kang Hoo memberi komitmen untuk melabur sehingga RM355.85 juta ke dalam kumpulan itu menerusi cadangan terbitan hak yang berpotensi meningkatkan pegangannya melebihi 33%.

 

Ekovest bercadang menerbitkan sehingga 1.78 bilion saham biasa baharu pada harga 20 sen sesaham, berdasarkan tiga saham baharu bagi setiap lima saham sedia ada yang dimiliki pemegang saham.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ekovest berkata Lim Kang Hoo bersama Ekovest Holdings Sdn Bhd, syarikat milik penuhnya akan melanggan saham hak yang diperuntukkan kepada mereka.

 

Pada masa sama, mereka turut memberi komitmen untuk mengambil mana-mana saham hak yang tidak dilanggan oleh pemegang saham lain bagi memastikan keseluruhan terbitan hak itu dapat dilanggan sepenuhnya.

 

Pada masa ini, Lim Kang Hoo bersama pihak yang bertindak secara bersama dengannya memegang kira-kira 32.06% kepentingan dalam Ekovest. Jika pemegang saham lain tidak mengambil bahagian dan komitmen tersebut dilaksanakan sepenuhnya, pegangan kolektif mereka boleh meningkat kepada 57.54%.

 

Dana Untuk Projek Infrastruktur Dan Kurangkan Hutang

Daripada hasil terbitan hak itu, sebanyak RM150 juta akan digunakan untuk membiayai sebahagian projek Lebuhraya Laluan Istana-Kiara (Like) manakala RM90juta diperuntukkan bagi pembangunan EkoTitiwangsa dan projek Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE).

 

Selain itu, RM100 juta akan digunakan untuk membayar balik pinjaman, RM14.05 juta bagi keperluan modal kerja dan RM1.8 juta untuk menampung perbelanjaan berkaitan terbitan hak tersebut.

 

Projek Lebuhraya Laluan Istana-Kiara mempunyai anggaran kos pembinaan RM2.32 bilion dan dijangka memulakan pembinaan pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 (FY27), sebelum disiapkan pada suku kedua FY31.

 

t

 

Bagi pembangunan EkoTitiwangsa pula, projek berkenaan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM500 juta dan kos pembangunan kasar sekitar RM390 juta.

 

Pembinaan EkoTitiwangsa telah bermula pada Jun 2025 dan dijangka siap pada Januari 2028 dengan kemajuan fizikal kira-kira 40% setakat tarikh terkini, menurut Ekovest.

 

Pegangan Lim Berpotensi Cecah 57.54%

Ekovest berkata hasil terbitan hak itu akan digunakan bagi membiayai sebahagian sumbangan ekuitinya untuk menampung baki kos pembangunan EkoTitiwangsa serta infrastruktur dalam projek tersebut.

 

Sementara itu, RM100 juta yang diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman dijangka membantu mengurangkan tahap hutang dan kos pembiayaan Ekovest yang akan menjimatkan kos faedah kira-kira RM6.54 juta setahun.

 

Setakat 12 Ogos, Ekovest mempunyai jumlah pinjaman kira-kira RM1.07 bilion, tidak termasuk kemudahan pembiayaan berkaitan projek konsesi lebuh raya dan projek perladangan kumpulan.

 

Ekovest turut memaklumkan harga terbitan 20 sen sesaham itu merupakan diskaun 1.86% berbanding harga teori selepas terbitan hak sebanyak 20.38 sen berdasarkan purata harga pasaran wajaran mengikut jumlah dagangan lima hari Ekovest sebanyak 20.61 sen sehingga 14 Ogos.

 

Dalam pada itu, Ekovest berkata taburan pegangan saham awam kini berada pada 70.83% dan dijangka turun kepada 44.27% sekiranya pemegang saham utama melaksanakan sepenuhnya komitmen masing-masing. 

 

Namun, paras itu masih melebihi syarat minimum 25% yang ditetapkan Bursa Malaysia.

 

Ekovest menegaskan usaha mengumpul dana itu akan mengukuhkan kedudukan modal kumpulan serta mengurangkan kebergantungan terhadap pembiayaan hutang, di samping menyokong pelaksanaan projek infrastruktur dan pembangunan hartanah yang sedang dijalankan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved