Lim nafi berurusan dengan kontraktor luar semasa bertugas

LocalPolitics
23 Oct 2025 • 4:56 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) Lim Lam Beng memberitahu Mahkamah Khas Rasuah pada Rabu bahawa beliau tidak pernah berurusan secara pribadi dengan mana-mana kontraktor luar sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Mahkamah turut diberitahu bahawa Lim tidak mempunyai kuasa untuk menganugerahkan atau meluluskan sebarang kontrak yang melibatkan pihak luar ketika berkhidmat di jabatan berkenaan.

Lim, 71, berkata demikian semasa memberi keterangan bersumpah menjawab soalan peguam belanya Datuk Tan Hock Chuan semasa pemeriksaan utama di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Tan bertanya sama ada Lim dalam kapasiti sebagai Timbalan Pengarah pernah berurusan secara langsung dengan mana-mana kontraktor berkaitan kontrak yang diluluskan jabatan itu dan Lim menjawab tidak.

Lim adalah tertuduh ketiga yang dibicarakan bersama bekas Pengarah Jans Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63, (tertuduh pertama) dan isterinya Fauziah Piut, 59, (tertuduh kedua) atas pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram.

Lim menghadapi empat pertuduhan memiliki kenderaan Toyota Land Cruiser, wang tunai RM200,000, RM1.9 juta dan RM280,000 yang didakwa hasil daripada aktiviti haram mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 13 Oktober hingga 8 November 2016.

Sementara itu Ag Mohd Tahir dan Fauziah berdepan 33 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM61.57 juta dalam bentuk tunai, simpanan bank serta pemilikan barangan mewah secara haram.

Ag Mohd Tahir menghadapi 11 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) akta yang sama manakala Fauziah menghadapi 19 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b).

Kedua-duanya juga menghadapi dua pertuduhan bersama di bawah seksyen sama yang didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk pejabat di Kota Kinabalu, sebuah rumah di Sembulan dan beberapa cawangan bank antara 4 Oktober hingga 4 November 2016.

Dalam keterangannya Lim berkata tugas utamanya sebagai Timbalan Pengarah termasuk memantau dan melaksanakan projek bekalan air, menyediakan belanjawan operasi dan penyelenggaraan tahunan, merancang dan menilai kos projek pembangunan serta menyelaras sistem bil air dan hal ehwal ICT jabatan berkenaan seperti diarahkan oleh Pengarah Jans.

Menjawab soalan lanjut Lim berkata isterinya Lee Shuk Lan memiliki 25 peratus saham dalam syarikat Jebamilek Sdn Bhd dan menerima RM1.125 juta sebagai bahagiannya hasil jualan sebidang tanah di Penampang bernilai RM6 juta berdasarkan perjanjian jual beli bertarikh 25 Mei 2004.

Lim menjelaskan bahawa beliau telah mengisytiharkan hasil jualan tanah itu dalam Borang Pengisytiharan Harta kepada Jans pada 3 Januari 2005 di bawah bahagian Simpanan Isteri.

Pengisytiharan itu disemak oleh Ag Mohd Tahir dan disahkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Datuk Ismail Ag Besar pada 29 September 2006.

Tambahnya hasil jualan tersebut kemudian digunakan untuk pelaburan hartanah di Kota Kinabalu.

Lim yang berkelulusan Diploma Kejuruteraan Awam dari Institut Teknologi Kebangsaan (1975) dan Ijazah Kejuruteraan Awam dari Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia (1984) memulakan kerjayanya sebagai Penolong Jurutera di Jabatan Kerja Raya Kota Belud pada 1976.

Beliau menyertai Jans pada 1 Januari 1988 dan berkhidmat di pelbagai daerah termasuk Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu, Kota Kinabalu, Tuaran, Papar dan Kota Marudu sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah pada 2004 hingga bersara wajib pada 16 Februari 2014.

Selepas itu beliau dilantik semula sebagai Timbalan Pengarah secara kontrak selama setahun hingga 16 Februari 2015.

Lim diwakili oleh Datuk Tan Hock Chuan dan Baldev Singh manakala Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili oleh Datuk Ansari Abdullah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.

Perbicaraan disambung.