Lima ADUN lantikan: Usul ke DUN tindakan tergesa-gesa

LocalPolitics
5 May 2026 • 5:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lima ADUN lantikan: Usul ke DUN tindakan tergesa-gesa
Dr Sahruddin (tengah) pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

ISKANDAR PUTERI – Pembentangan rang undang-undang pindaan Perlembagaan berhubung cadangan pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Khamis ini disifatkan sebagai tergesa-gesa.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kerajaan negeri sepatutnya mengadakan sesi libat urus terlebih dahulu melibatkan semua ADUN termasuk pembangkang sebelum usul berkenaan dibawa ke DUN.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya tidak dimaklumkan mengenai prosedur, proses pelantikan serta syarat-syarat yang akan digunakan bagi menentukan lima ADUN lantikan tersebut.

“Kami tidak tahu apa prosedur dan proses pelantikan yang ingin diketengahkan Menteri Besar serta kriteria yang akan digunakan.

“Tiada sebarang libat urus diadakan. Jika ada, kami boleh beri pandangan dan cadangan bagi menambah baik perkara ini,” katanya dalam sidang media di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini pada Selasa.

Sahruddin yang juga ADUN Bukit Kepong berkata, bukan sahaja pembangkang, malah beberapa wakil daripada Kerajaan Perpaduan dilihat tidak sehaluan dalam isu tersebut.

Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai kesepakatan antara parti-parti dalam kerajaan negeri.

Sementara itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz yang juga ADUN Puteri Wangsa mempersoalkan kriteria pelantikan serta peranan sebenar ADUN lantikan berkenaan.

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada ADUN lantikan itu akan menikmati kemudahan setara dengan ADUN sedia ada termasuk faedah persaraan serta fungsi mereka dalam DUN.

“Jika pelantikan melibatkan individu daripada parti yang telah memenangi pilihan raya, maka lebih baik mereka bertanding sahaja dalam pilihan raya dan berkhidmat sebagai ADUN yang dipilih rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Armada Bersatu Johor, Alias Rasman berkata, pihaknya tidak mahu situasi berulang apabila peranan ADUN lantikan menyerupai penyelaras DUN yang didakwa lebih bermotifkan politik.