ISKANDAR PUTERI – Cadangan untuk memperkenalkan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Khamis ini masih belum diputuskan dari segi pengagihan serta parti mana yang akan terlibat dalam pelantikan tersebut.
Ketua Pemuda MCA Pusat yang juga Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata, setakat ini perbincangan terperinci masih belum dibuat, termasuk sama ada MCA akan mempunyai wakil dalam pelantikan berkenaan.
“Sekurang-kurangnya ada satu kaedah supaya kerajaan negeri boleh melantik lima ADUN, namun ia juga perlu mendapat perkenan daripada Tuanku.
“Apabila Tuanku meluluskan, barulah proses pelantikan boleh dibuat. Ini bagi memudahkan tugas wakil rakyat sedia ada serta menambah perkhidmatan profesional kepada Bangsa Johor," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
Sebelum itu pada Isnin, Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong membangkitkan isu tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Chin Tong yang juga ADUN Perling dilaporkan berpandangan pelaksanaan ADUN lantikan bukanlah langkah terbaik, sebaliknya mencadangkan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi menambah bilangan kerusi DUN.
Sementara itu, Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse turut menyatakan penolakan terhadap cadangan ADUN lantikan, dengan hujah bahawa ia boleh mencabar prinsip legitimasi demokrasi di negeri ini.
Menjawab kritikan tersebut, Ling Tian Soon berkata, cadangan persempadanan semula memerlukan proses yang panjang kerana perlu dibawa ke peringkat Persekutuan.
Beliau turut menegaskan beberapa negeri lain seperti Sabah dan Pahang telah melaksanakan sistem ADUN lantikan, manakala Sarawak pula sedang dalam proses membawa perkara itu ke peringkat pusat untuk kelulusan.






