Lima bagasi, sebuah kotak isi dadah dijumpai di Pangkalan Udara Subang

19 Nov 2026 • 11:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lima bagasi, sebuah kotak isi dadah dijumpai di Pangkalan Udara Subang

PETALING JAYA – Lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditahan polis selepas pemeriksaan rutin terhadap bagasi yang akan dimuatkan ke dalam pesawat tentera menemukan dadah berbahaya di Pangkalan Udara Subang, kelmarin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejadian itu dikesan sendiri oleh petugas TUDM ketika menjalankan pemeriksaan di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), Pangkalan Udara Subang.

Menurutnya, pemeriksaan berkenaan menemukan lima buah bagasi dan sebuah kotak mencurigakan sebelum penemuan itu segera dilaporkan kepada Cawangan Penyiasatan Zon Tengah TUDM.

“Cawangan Penyiasatan Zon Tengah TUDM kemudiannya menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.

“Pada kira-kira pukul 5.20 petang hari yang sama, pasukan PDRM tiba di lokasi dan mengesahkan bahan yang ditemukan merupakan dadah berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kesemua lima bagasi dan sebuah kotak berkenaan disita sebagai bahan bukti, manakala lima pegawai TUDM yang disyaki terlibat ditahan polis bagi membantu siasatan.

Katanya, Kementerian Pertahanan (Mindef) memandang serius insiden tersebut dan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan jenayah dalam kalangan anggota serta pegawai tentera.

“TUDM telah mengambil tindakan segera dengan menyerahkan kes ini kepada PDRM untuk siasatan lanjut dan akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang terbukti terlibat atau bersubahat,” katanya.

Beliau berkata, TUDM sememangnya melaksanakan pemeriksaan dalaman secara berkala bagi memastikan organisasi berkenaan sentiasa bebas daripada kegiatan dadah.

Bagaimanapun, katanya, penemuan tersebut merupakan kejadian pertama seumpamanya yang dikesan ketika pemeriksaan rutin dijalankan.

Tambahnya, Mindef sentiasa mengutamakan prinsip ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap tindakan termasuk pengendalian kes berkenaan.

“Operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan dalaman akan terus dipergiatkan bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal bebas daripada kegiatan dadah,” katanya.

Terdahulu, JSJN Bukit Aman mendedahkan kejayaan membongkar sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan.

Operasi berkenaan membawa kepada rampasan sebanyak 96.64 kilogram syabu bernilai RM4.83 juta. – KOSMO! ONLINE

The post Lima bagasi, sebuah kotak isi dadah dijumpai di Pangkalan Udara Subang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved