Lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara 11 individu yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pengedaran dadah rentas sempadan membabitkan rampasan 96.64 kilogram (kg) bahan disyaki syabu bernilai RM4.83 juta.
5 pegawai TUDM, 6 orang awam
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan menyatakan, enam lagi individu yang ditahan merupakan orang awam, dengan semua tangkapan dilakukan menerusi beberapa operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan, Sabah pada 17 November lalu.
Menurutnya, kegiatan sindiket berkenaan berjaya dibongkar hasil kerjasama risikan strategik antara JSJN Bukit Aman dan Cawangan Provos Marsyal TUDM.

Foto: Sinar Harian
Guna kemudahan penerbangan ketenteraan
Lebih membimbangkan, sindiket itu dipercayai menggunakan kemudahan penerbangan ketenteraan untuk membawa dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.
Hussein menjelaskan, siasatan awal turut mengenal pasti peranan beberapa individu dalam menguruskan kegiatan pengedaran tersebut, manakala polis kini sedang memburu seorang lagi suspek yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket.
“Hasil siasatan mendapati dua daripada individu awam yang ditahan dipercayai berperanan sebagai koordinator dalam mengatur serta menyelaraskan kegiatan pengedaran dadah sindiket berkenaan.
“JSJN kini giat mengesan seorang lagi lelaki warga tempatan yang dipercayai ketua sindiket bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi serta mengenal pasti pihak lain yang terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata risikan awal mendapati sindiket tersebut dipercayai sudah aktif sejak Julai lalu dengan menjadikan kemudahan pengangkutan udara ketenteraan TUDM sebagai salah satu laluan penyeludupan.
Modus operandi berkenaan menunjukkan bagaimana kemudahan dan kepercayaan yang diberikan kepada individu tertentu dalam institusi keselamatan negara dipercayai telah dieksploitasi bagi menjalankan kegiatan jenayah.

Foto: NSTP
Susulan penahanan itu, kesemua lima pegawai TUDM direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November, manakala enam individu awam direman antara dua hingga lima hari bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Hussein memaklumkan ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati dua individu awam positif dadah, sementara seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada individu awam terbabit positif methamphetamine, manakala seorang lagi mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Rampasan dadah itu dianggarkan berpotensi menjejaskan sehingga 483,000 individu sekiranya berjaya diedarkan ke pasaran,” jelasnya.
Hukuman berat menanti
Selain rampasan dadah bernilai jutaan ringgit, polis turut menyita dua kenderaan jenis Honda CR-V dan Toyota Vios yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM126,062.
Tindakan penyitaan itu dilaksanakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 sebagai sebahagian daripada usaha membanteras kegiatan sindiket berkenaan.
Hussein menambah, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman berat terhadap individu yang disabitkan kesalahan mengedar dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, sebatan tidak kurang daripada 12 kali sekiranya disabitkan kesalahan,” ujarnya.
Sementara itu, polis masih giat mengesan lelaki tempatan yang dipercayai mengetuai sindiket tersebut bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian serta pihak lain yang mungkin terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan itu.
Sumber: Utusan Malaysia (Maszureen Hadzman)




