
PETALING JAYA: Kira-kira lima hektar hutan bukit sekunder, kawasan berbatu, lalang serta hutan kecil di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selangor terbakar hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya telah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 1.51 petang.
Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong telah tiba di lokasi pada pukul 2.16 petang bagi menjalankan operasi pemadaman kebakaran.
“Kebakaran berkenaan turut mendapat bantuan daripada anggota BBP Sungai Besi dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seri Serdang.
“Kebakaran membabitkan kawasan hutan seluas kira-kira lima ekar dengan kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan.
“Pasukan bomba turut melakukan ‘fire break’ bagi memastikan api tidak merebak dan menjejaskan kawasan hutan lain berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sehingga pukul 3.15 petang, operasi pemadaman telah mencapai 80 peratus, manakala baki 20 peratus masih dalam usaha diselesaikan.
Katanya, operasi pemadaman membabitkan seramai 16 anggota dengan menggunakan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Kebakaran itu berlaku di kawasan hutan bukit sekunder yang terdiri daripada kawasan berbatu, lalang serta hutan kecil.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian kebakaran berkenaan berdasarkan maklumat yang diterima Pusat Gerakan Operasi JBPM Selangor.
“Operasi pemadaman masih dijalankan bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dan api tidak merebak ke kawasan lain.” katanya. – UTUSAN
The post Lima hektar hutan bukit terbakar di Taman Bukit Serdang appeared first on Utusan Malaysia.






