KUALA LUMPUR - Angin kuat disusuli hujan lebat mengakibatkan lima kenderaan rosak dihempap pokok tumbang dalam beberapa kejadian berasingan di sekitar ibu kota pada Isnin.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan berkaitan insiden pokok tumbang menerusi talian NG999 kira-kira jam 2.50 petang.
Susulan itu, jentera bomba digerakkan ke tiga lokasi kejadian membabitkan Lebuhraya MEX menghala ke Lebuhraya NPE (E37), Pangsapuri Seri Malaysia di Jalan 3/141 Kampung Malaysia Tambahan dan Institut Sosial Malaysia di Sungai Besi.
"Lokasi di Lebuhraya MEX menghala ke Lebuhraya NPE, pokok tumbang dilaporkan menghalang laluan jalan namun tidak melibatkan sebarang kenderaan atau mangsa.
"Manakala di Pangsapuri Seri Malaysia pula, sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kereta jenis Proton Persona yang diparkir di bahu jalan dan tiada mangsa terlibat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
**media[3532596]**
Sementara itu, kejadian di Institut Sosial Malaysia membabitkan sebatang pokok besar tumbang sehingga dahan pokok menghempap bumbung kawasan parkir kenderaan.
Empat kenderaan terlibat dalam kejadian itu iaitu Perodua Alza, Perodua Axia, Perodua Myvi dan Proton Waja.
"Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut.
"Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah dimaklumkan bagi membantu kerja pembersihan dahan pokok yang dipotong anggota bomba,” katanya.
**media[3532595]**
Menurut JBPM Kuala Lumpur, semua laluan jalan yang terhalang akibat kejadian itu telah dibuka sepenuhnya kepada pengguna jalan raya.



