Penunggang motosikal maut rempuh pokok tumbang

14 May 2026 • 12:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penunggang motosikal maut rempuh pokok tumbang
Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebatang pokok tumbang di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Bandaraya Johor Bahru awal pagi Khamis. - Foto JBPM Johor

PASIR GUDANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai merempuh sebatang pokok tumbang di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Bandaraya Johor Bahru dekat sini, awal pagi Khamis.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Tinggi II Nazarudin Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.06 pagi.

Menurut beliau, seramai enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kejadian berlaku berhampiran Megah Ria. Jentera tiba di lokasi pada jam 4.13 pagi dan mendapati terdapat sebatang pokok mati berukuran kira-kira satu meter tumbang di atas jalan sebelum dipercayai dirempuh penunggang motosikal terbabit.

“Kemalangan itu menyebabkan Brad Fischhetti Anak Kijam, 26, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, pihak bomba turut menjalankan kerja pemotongan dan pengalihan pokok bagi memastikan laluan berkenaan selamat digunakan semula.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.34 pagi,” katanya.