Lima kenderaan ubah suai tangki bahan api dirampas di Padang Besar

LocalCars
1 Jun 2026 • 6:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lima kenderaan ubah suai tangki bahan api dirampas di Padang Besar
Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan yang dirampas telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang. Foto polis

PADANG BESAR - Polis merampas lima kenderaan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan bahan api bersubsidi dalam beberapa operasi berasingan di sekitar daerah Padang Besar menerusi Op Tiris 4.0 yang dilaksanakan sejak 22 April hingga 1 Jun.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, operasi yang dijalankan oleh Task Force Op Tiris 4.0 itu turut membawa kepada penahanan lima individu berusia antara 30 hingga 55 tahun bagi membantu siasatan.

Menurutnya, suspek yang ditahan terdiri daripada seorang wanita tempatan, dua lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing.

"Hasil pemeriksaan mendapati lima kenderaan yang dirampas terdiri daripada sebuah pikap dan empat kereta sedan dipercayai telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang.

"Pengubahsuaian tersebut dipercayai dilakukan bagi tujuan penyimpanan dan pengangkutan bahan api dalam kuantiti yang besar untuk kegiatan penyeludupan," katanya pada Isnin.

Beliau berkata, kesemua kenderaan terbabit telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut serta disita bagi tujuan siasatan.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM36,300," katanya.

Mohd Shokri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengubah suai kenderaan sehingga tidak mematuhi spesifikasi asal yang ditetapkan.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM4,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

"Tangki yang telah diubah suai dan dipasang secara tidak sah pada kenderaan berkenaan akan ditanggalkan sebelum dilupuskan mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

Tambah beliau, IPD Padang Besar akan terus mempergiatkan operasi dan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras kegiatan penyeludupan bahan api bersubsidi serta jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.