Lima khemah Bazar Raya Stadium Darul Aman musnah terbakar

25 Feb 2026 • 4:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lima khemah Bazar Raya Stadium Darul Aman musnah terbakar. Foto Bomba
image is not available
Keadaan di khemah Bazar Raya, Stadium Darul Aman ketika kebakaran berlaku. - Foto tular
image is not available
Kebakaran memusnahkan barangan keperluan hari raya yang dijual di tapak bazar. Foto tular

ALOR SETAR - Lima khemah Bazar Raya Stadium Darul Aman di sini yang menjual kelengkapan perayaan, musnah dalam kebakaran tengah hari Rabu, namun tidak melibatkan mangsa.

Ketua Zon 1, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 11.25 pagi berhubung kejadian.

Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar digerakkan ke lokasi kejadian di Stadium Darul Aman, kira-kira dua kilometer dari balai.

"Semasa jentera tiba pada jam 11.29 pagi mendapati lima buah khemah sedang terbakar dengan keadaan api marak.

“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terjejas," katanya.

Beliau berkata, api berjaya dikawal pada jam 11.37 pagi dan kerja-kerja overhaul dijalankan di lokasi.

Operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.36 tengah hari.

Punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, video yang tular di media sosial berhubung kejadian menunjukkan baju raya yang dijual di bazar berkenaan, musnah dalam kebakaran.