PUTRAJAYA - Seramai lima calon Orang Asli yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjaya merekodkan keputusan cemerlang apabila memperoleh kombinasi gred A+, A dan A- untuk semua mata pelajaran.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, daripada 2,128 calon, seramai 1,769 pelajar Orang Asli layak dianugerahkan Sijil SPM 2025 berbanding hanya 1,527 calon pada 2024.
“Seramai 133 calon pula mendapat sekurang-kurangnya Kepujian iaitu B+,B, C+ dan C untuk semua mata pelajaran, manakala sejumlah 609 calon sekurang-kurangnya berjaya lulus,” katanya dalam sidang akhbar Pengumuman Keputusan SPM 2025 di sini pada Selasa.
Dalam pengumuman itu, beliau turut memaklumkan seorang calon SPM dari Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney di bawah seliaan Jabatan Penjara Malaysia memperoleh semua A.
"Seramai 99 calon layak mendapat sijil SPM di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney berbanding hanya 94 calon pada 2024. Selain itu, 24 calon mendapat sekurang-kurangnya Kepujian, manakala 63 lain mendapat lulus,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Azam berkata, usaha berterusan guru disifatkan setegang Selat Hormuz menjadi antara faktor utama membentuk daya tahan pelajar sehingga berjaya menduduki peperiksaan.
"Calon SPM 2025 melalui proses pengajaran dan pembelajaran panjang serta berkesinambungan bermula dari prasekolah, diikuti enam tahun sekolah rendah dan lima tahun di peringkat menengah.
“Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilalui selama 11 atau 12 tahun penuh dengan cabaran. Berkat semangat guru yang tidak pernah jemu merangka pelbagai intervensi demi membangunkan potensi anak murid, akhirnya murid diasuh dan dididik mampu melangkah dengan daya ketahanan diri tinggi,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif dilaksanakan tidak hanya bergantung kepada komitmen tenaga pengajar semata-mata, sebaliknya disokong pelbagai pihak dalam ekosistem pendidikan negara.
“Sesungguhnya, inisiatif yang menjadi intervensi ini tidak hanya terhad pada daya usaha gigih guru setegang Selat Hormuz, tetapi mendapat sokongan padu pelbagai pihak walaupun harapan setinggi Gunung Kilimanjaro iaitu Bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, ibu bapa, komuniti serta agensi kerajaan dan swasta,” ujarnya.



