ALOR SETAR - Anak keempat kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memperoleh 10A 1B+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Perkara tersebut dikongsi Pegawai Khas Media Menteri Besar, Helmi Khalid menerusi akaun TikTok miliknya yang memaparkan Muhammad Sanusi menemani Nur Hana mengambil keputusan SPM di Maktab Mahmud Padang Terap pada Selasa.
Muhammad Sanusi dilihat menemui pengurusan sekolah tersebut sebelum bersama-sama Nur Hana melihat keputusan SPM bersama guru-gurunya.
Beliau dilihat sempat berseloroh bersama Nur Hana dan gurunya mengenai pencapaian cemerlang subjek Bahasa Inggeris yang memperoleh A+.
**media[3477892]**
“Bahasa Inggeris ikut pak dia lah A+,” katanya yang disambut gelak ketawa.
Di penghujung video tersebut, kelihatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali turut mengucapkan tahniah kepada Nur Hana atas pencapaian cemerlangnya sambil melihat keputusan SPM tersebut.
Video di TikTok tersebut mendapat lebih 51,000 tanda suka, lebih 1,000 komen dan lebih 3,000 perkongsian setakat jam 10 malam pada Selasa.


